BERNAMA

Kuala Lumpur: Keluaran siswazah perubatan tempatan berada di bawah unjuran keperluan Kementerian Kesihatan (KKM), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Pelan Strategik KKM 2016-2020 menetapkan sasaran nisbah doktor perubatan kepada penduduk di Malaysia menjelang 2025 adalah 1:400 dengan purata keperluan tambahan setiap tahun adalah 4,000 orang.

Beliau berkata, seramai 2,967 siswazah perubatan sudah dihasilkan institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam negara pada tahun lalu dengan 958 orang dari IPT awam (IPTA) manakala 2,009 orang daripada IPT swasta (IPTS).

"Merujuk kepada statistik sedia ada, keluaran graduan perubatan tempatan berada di bawah unjuran keperluan KKM. Bagaimanapun, di bawah Akta Perubatan 1971, semua graduan perubatan termasuk dari luar negara wajib mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) untuk menjalani khidmat wajib.

"Bagi memastikan satu imbangan yang sihat antara keperluan dengan permintaan pasaran kerja dan aspirasi negara, KPT dari semasa ke semasa memantau pengambilan pelajar Sarjana Muda Perubatan yang kini ditetapkan berdasarkan kapasiti IPT dan tertakluk kepada kuota ditetapkan MPM," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.

Beliau menjawab soalan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) mengenai jumlah penuntut yang tamat pengajian dalam bidang Fakulti Perubatan dan Fakulti Undang-Undang IPTA dan IPTS pada 2020-2021 serta sama ada angka itu melebihi keperluan pasaran kerja.

Bagi program undang-undang pula, seramai 1,704 siswazah telah dikeluarkan IPT tempatan pada tahun lepas merangkumi 1,098 orang lulusan IPTA dan 606 orang daripada IPTS.

"Suka juga saya kongsikan bahawa pada ketika ini, moratorium program undang-undang yang telah dilaksanakan hampir 15 tahun masih lagi berkuat kuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Disember 2021 @ 12:38 PM