Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Seorang wanita warga emas simpati dengan nasib menimpa anaknya lelakinya yang kehilangan dompet dan telefon bimbit serta sanggup memberinya pinjaman wang berjumlah RM35,000.

Bagaimanapun wanita tidak menyedari bahawa sebenarnya dia terpedaya dengan individu yang membuat panggilan telefon dan menyamar sebagai anaknya itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang langsung tidak menyemak atau membuat pengesahan terus membuat tiga transaksi wang berjumlah RM35,000 ke dalam akaun yang diberikan.

"Mangsa terlalu percaya kerana tidak mahu anaknya berada dalam kesusahan namun malangnya dia terperangkap dengan sindiket penipuan.

"Dia menyedari perkara itu ketika mahu menuntut semula wang daripada anaknya. Namun dia terkejut apabila anaknya itu menafikan ada membuat panggilan atau menggunakan nombor seperti individu yang menyamar itu, apatah lagi meminjam wang.

"Oleh itu mangsa membuat laporan polis semalam," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Noorzainy berkata, seorang pengurus kilang di sebuah syarikat swasta mengalami kerugian RM11,168 selepas terpedaya dengan sindiket yang menawarkan kerja sambilan yang diiklankan di laman sosial.

"Kejadian bermula apabila mangsa melayari laman sosial Facebook dan melihat iklan yang menawarkan kerja sambilan lalu menarik minat mangsa untuk memuat turun aplikasi yang diberikan.

"Selepas semua arahan dituruti, sindiket akan menawarkan kerja sambilan sebagai 'Online Purchasing Agent' (Ejen Pembelian Dalam Talian) yang mana mangsa akan menerima gambar barang yang dijual di laman aplikasi yang mangsa muat turun terbabit.

"Sindiket itu kemudian mengarahkan mangsa membayar harga barangan yang tertera di dalam gambar.

"Mereka memberitahu mangsa bahawa tujuan pembayaran barang bukanlah untuk pembelian tetapi bertujuan untuk menaikkan rating barangan itu selain mangsa akan menerima semula kos pembayaran barangan yang dibayar sebelum ini bersama pulangan komisen sebanyak 0.4 peratus hingga 12 peratus," katanya.

Noorzainy berkata, mangsa yang percaya membuat bayaran berjumlah RM11,168 ke dalam akaun yang diberikan tetapi diminta lagi membuat bayaran tambahan lain.

"Mangsa kemudian menceritakan kepada keluarganya sebelum dia diyakinkan bahawa dia sudah diperdaya sindiket penipuan lalu datang membuat laporan polis semalam," katanya.

Kedua-dua kes disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Jun 2021 @ 6:58 PM