GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Komisyen yang diperoleh hanya RM100.84, sedangkan wang yang lebur selepas terpedaya dengan pelaburan palsu mencecah hampir RM200,000.

Itu kerugian yang terpaksa ditanggung seorang tukang besi selepas menyertai sindiket pelaburan menerusi pembelian barangan di sebuah platform beli-belah secara dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, mangsa berusia 27 tahun rugi RM179,154.64 apabila melabur sebaik menerima tawaran itu menerusi WhatsApp pada 9 Jun lalu.

"Mangsa ditawarkan komisyen ke atas setiap pembelian barang daripada platform beli-belah itu dan dijanji wangnya dikembalikan. Dia diminta menghantar gambar tangkap layar barangan kepada nombor telefon diberikan.

"Mangsa mempercayai pelaburan itu selepas menerima komisyen pada 9 Jun lalu atas tiga transaksi pembayaran yang dibuat ke akaun Hong Leong.

"Dia mendakwa menerima komisyen RM3.65 atas pembelian barangan berjumlah RM73.30; komisyen RM39.15 bagi barang RM783.10 dan RM23.49 (RM469.80)," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Elias berkata, mangsa kemudian melakukan enam transaksi bayaran pada 10 Jun hingga 12 Jun ke tiga akaun berbeza untuk mendapat komisyen yang lebih, namun dia tidak menerima imbuhan yang dijanjikan sebelum menyedari ditipu.

"Keseluruhan wang simpanannya berjumlah RM179,154.64 habis digunakan untuk pelaburan itu dan mangsa membuat laporan di Balai Polis Kota Setar pada 12 Jun lalu," katanya.

Dalam pada itu, seorang pembantu kedai berusia 29 tahun turut rugi RM120,000 selepas diperdaya sindiket penipuan yang menggunakan modus operandi sama.

Katanya, mangsa terpedaya selepas menerima tawaran pada 31 Mei dan hanya menerima komisyen sebanyak tiga kali.

"Dia sedar ditipu apabila membuat bayaran bagi barangan berjumlah RM119,897 ke atas lima akaun berbeza namun tidak menerima sebarang komisyen dan wang tidak dikembalikan," katanya.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Jun 2021 @ 8:08 PM