Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menerima dan menyimpan harta curi iaitu wang berjumlah RM58,900 yang dimasukkan ke dalam akaunnya.

Tertuduh, Wan Muhammad Faiz Wan Mohamad Noor, 26, yang bekerja sebagai pengecat kereta membuat pengakuan itu selepas 14 pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima dan menyimpan harta curi iaitu wang berjumlah RM58,900 yang dimasukkan ke dalam akaun banknya daripada dua wanita berusia 43 tahun dan 60 tahun dengan mengetahui harta itu adalah harta curi.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di mesin deposit di sebuah bank di Kuala Terengganu antara 27 hingga 29 Julai 2019.

Wan Muhammad Faiz diiring anggota polis ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini. Foto Ghazali Kori
Wan Muhammad Faiz diiring anggota polis ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini. Foto Ghazali Kori

Bagi setiap kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM42,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nurul Najmi Adila Md Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Jun 2021 @ 3:27 PM