Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang sebelum ini berdepan pertuduhan membunuh dengan menembak mati jirannya sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini, hari ini, atas cubaan membunuh.

Tertuduh, Ong Chow Lee, 56, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan cubaan bunuh dengan niat menyebabkan kematian Teo Hock Beng, 45, di sebuah bangsal di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang, jam 1.55 tengah hari pada 23 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah menetapkan 17 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

ONG Chow Lee dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas cubaan membunuh jirannya dengan menembak menggunakan senapang patah.  FOTO Ghazali Kori
ONG Chow Lee dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas cubaan membunuh jirannya dengan menembak menggunakan senapang patah. FOTO Ghazali Kori

Semalam, tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Marang atas pertuduhan membunuh dengan menembak mati jirannya, Fong Swee Fuan, 65, menggunakan senapang patah.

Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki maut manakala anak saudaranya parah selepas ditembak jirannya dipercayai menggunakan senapang patah di Taman Raya Wakaf Tapai, Marang.

Dalam kejadian itu, Swee Fuan yang juga bekas Ketua Bahagian MCA Marang yang cedera di dada disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala anak saudaranya, Hock Beng parah di dada akibat terkena tembakan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Ogos 2021 @ 11:17 AM