GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Abdul Rahemang Taiming


Semporna: Cubaan lelaki tempatan merentas daerah bersama tujuh 'penumpang' mengundang padah apabila mereka ditahan di Sekatan Jalan Raya (SJR) di kilometer 15 Jalan Seporna-Tawau, di sini, Sabtu lalu.

Malah, tindakan lelaki berusia 42 tahun yang berperanan sebagai 'transporter' itu juga membongkar kegiatan penyeludupan migran.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, anggota bertugas menahan dan membuat pemeriksaan ke atas sebuah kenderaan jenis Perodua Alza warna merah yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 9.05 pagi.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati pemandu terbabit sedang dalam perjalanan ke Tawau mengemukakan permit rentas daerah yang sah namun jumlah penumpang melebih kapasiti dibenarkan iaitu masing-masing empat lelaki dan tiga wanita.

"Pemeriksaan dokumen ke atas semua penumpang bagaimanapun mendapati hanya dua daripada penumpang mempunyai dokumen keterangan diri manakala lima lagi penumpang gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Polis turut merampas dua keping pasport Filipina daripada seorang penumpang wanita berusia 33 tahun dan tangkapan dibuat ke atas emua penumpang selain kenderaan turut disita untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Farhan berkata, siasatan lanjut mendapati suspek mengaku berperanan sebagai penghantar migran ke destinasi ditetapkan dan dibayar upah sebanyak RM100 oleh seorang lelaki yang baru dikenali di Bandar Semporna.

"Semua migran masing-masing berusia antara 17 sehingga 43 tahun itu juga mengaku baru sahaja memasuki daerah ini menggunakan sebuah bot pum dikendalikan seorang lelaki dipercayai tekong laut sebelum dibawa ke sebuah rumah kosong perkampungan atas air.

"Mereka kita ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26J Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 9:12 PM