TEKONG dan PATI ditahan di Sandakan.
TEKONG dan PATI ditahan di Sandakan.
Oleh Hazsyah Abdul Rahman


DUA lelaki dipercayai tekong darat ditahan bersama tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di kawasan Sungai Padas, Batu 12 di sini, semalam.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, serbuan adalah hasil risikan yang dilakukan pihaknya.

“Sebaik tiba di lokasi itu kira-kira jam 10.15 malam, anggota menemui dua buah kenderaan di lokasi bersama pemandu serta penumpang.

“Seterusnya, pemeriksaan ke atas pemandu mendapati seorang warga tempatan seorang warga Indonesia yang dipercayai berperanan sebagai tekong darat.

“Manakala pemeriksaan ke atas tujuh penumpang mendapati, semuanya tidak memiliki dokumen disyaki PATI dari Filipina,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad berkata, siasatan lanjut mendapati PATI membayar RM50 seorang kepada tekong darat terbabit untuk dihantar ke satu lokasi di Sandakan.

“Semua individu yang berumur 14 hingga 44 tahun itu dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut dan kenderaan terbabit turut dirampas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran(ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan kegiatan penyeludupan migran dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 January 2020 @ 4:55 PM