ANGGOTA RELA membuat kawalan SOP dan mengawal bilangan pengunjung pada satu-satu masa di Pasar Sentral UTC Labuan, semalam. FOTO Bernama
ANGGOTA RELA membuat kawalan SOP dan mengawal bilangan pengunjung pada satu-satu masa di Pasar Sentral UTC Labuan, semalam. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 684 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 630 individu dikompaun manakala 45 individu pula direman dan sembilan dijamin.

"Antara kesalahan adalah tidak memakai pelitup muka membabitkan 175 individu, gagal mendaftar masuk premis (143), rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta makan di premis (83).

"Kesalahan lain adalah tidak patuh arahan kawalan pergerakan (79), tiada penjarakan fizikal (77), aktiviti pusat hiburan (9) dan lain-lain (118)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, menerusi Op Benteng, Ismail Sabri berkata, 1,399 tangkapan dan 601 rampasan selain 229 kes pengusiran dilakukan sejak 1 Januari lalu.

Katanya, dalam tempoh itu juga 3,523 pendatang asing tanpa izin (Pati) dan 211 tekong ditahan dengan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM219.4 juta.

"Selain itu, seramai 534 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan kesemuanya dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, semalam.

"Secara kumulatif, sejak 24 Julai 2020 sehingga semalam, seramai 216,166 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan ditempatkan di 78 hotel serta 11 institut latihan awam (ILA) termasuk institut pengajian swasta," katanya.

Selain itu, beliau berkata, 56 warga asing menjalani ujian saringan dan tiada kes positif Covid-19 dilaporkan, semalam.

Katanya, secara kumulatifnya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan seramai 698,045 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 36,131 majikan dengan 10,320 orang positif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 7:07 PM