HUJAN renyai mengiringi suasana pilu pengebumian Allahyarham Harussani di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya. FOTO Sharul Hafiz Zam
HUJAN renyai mengiringi suasana pilu pengebumian Allahyarham Harussani di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya. FOTO Sharul Hafiz Zam
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Pemergian Mufti Perak, Allahyarham Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang meninggal dunia hari ini adalah kehilangan besar kepada umat Islam bukan saja di Perak bahkan di persada dunia Islam khususnya rantau nusantara.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, selain jasa kepada negeri dan negara, dunia Islam khususnya di persada nusantara turut mengenali Allahyarham sebagai seorang yang tegas, berprinsip serta berani yang memang selayaknya diperlukan pada susuk tubuh seorang ulama.

"Sudah tentu ini kehilangan besar kerana beliau (berpangkat) besar kepada kami, malah saya rasa umat Islam di seluruh Malaysia khususnya merasai kehilangan beliau. (Marilah) kita doakan semoga Allahyarham diampunkan," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Zamri berkata, kali terakhir pertemuannya dengan Allahyarham adalah ketika Allahyarham sakit sebelum dimasukkan ke hospital disebabkan Covid-19 yang difahamkan beberapa hari sebelum Aidilfitri lalu.

"Semasa beliau masih di rumah, memang biasa kami (kakitangan Jabatan Mufti Negeri Perak) pergi menziarahinya yang ketika itu beliau memang sakit. Selepas dimasukkan ke hospital kerana sah positif Covid-19, sebagaimana maklum tidak dapatlah kami ziarah kerana prosedur operasi standard (SOP).

"Cuma di waktu beliau di hospital, kami perbanyakkan doa dari semasa ke semasa (bagi kesembuhan Allahyarham)," katanya sambil mengakui beliau difahamkan sebab kematian Harussani setakat ini adalah kerana Covid-19.

Dalam pada itu, Zamri turut meluahkan kekesalan terhadap penyebaran berita palsu mengenai Allahyarham serta isteri, Puan Sri Ainon Abdul Ghani termasuk berita mengenai kematian Ainon sebelum ini.

"Saya pun hairan apabila netizen terlalu begitu percaya dengan khabar angin tidak bertanggungjawab sedemikian. Ia perlu dihentikan oleh masyarakat," katanya. Media sebelum ini melaporkan Harussani yang disahkan positif Covid-19 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini kira-kira dua minggu lalu.

Allahyarham meninggal dunia jam 2.45 petang tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rapat Jaya, di sini, jam 6.20 petang tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 8:59 PM