Oleh Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang disahkan positif Covid-19 minggu lalu sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Anak beliau, Datuk Ahmad Wafi Harussani ketika dihubungi memaklumkan secara ringkas status terkini kesihatan bapanya yang sedang dirawat.

"Abah memang di ICU dan mak pula semakin pulih dan ada di rumah," katanya.

Ahmad Wafi turut menafikan berita tular di media sosial yang mengatakan ibunya, Puan Seri Ainon Ghazali meninggal dunia.

"Tular pula kata isteri mufti meninggal dunia, itu adalah palsu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim berkata, pihaknya setakat ini hanya dimaklumkan Mufti Perak sedang dirawat di hospital terbabit.

"Kami dimaklumkan bahawa Tan Sri sedang dirawat di HRPB manakala isteri dan anaknya (sebelum ini positif Covid-19) sudah dibenarkan keluar dari hospital.

"Marilah kita semua mendoakan kesembuhan Mufti Perak," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 8:34 PM