Ismail Sabri Yaakob.
Ismail Sabri Yaakob.
Oleh Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Berkuat kuasa 8 malam ini, syarikat pembuatan yang sedia ada berdaftar dengan portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 boleh memuat turun surat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) yang baharu.

Menerusi satu kenyataan, Miti berkata syarikat pembuatan yang berkenaan juga boleh mengemas kini senarai pekerja mereka, sekiranya perlu.

Katanya, bagi syarikat pembuatan yang masih belum mendaftar, boleh membuat pendaftaran

bermula esok Isnin, 31 Mei 2021, mulai jam 1 tengah hari.

"Maklumat terperinci mengenai tatacara pendaftaran di CIMS 3.0 (melalui pautan notification.miti.gov.my) boleh dilayari melalui www.miti.gov.my.

"Selain itu, pekerja di sektor pembuatan dan perkhidmatan berkaitan (manufacturing related service - MRS) memerlukan surat kelulusan Miti, surat pengesahan lantikan daripada majikan atau kad pekerja untuk pergerakan mereka ke tempat kerja.

"Prosedur operasi standard (SOP) semasa mengenai kapasiti tenaga kerja dikekalkan pada kadar 60 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, syarikat pembuatan dalam sektor yang hanya dibenarkan untuk meletakkan mesin di dalam status siap siaga perlu memuat turun surat kelulusan Miti melalui CIMS 3.0, tertakluk pada kapasiti tenaga kerja pada kadar 10 peratus.

Sektor pembuatan dan MRS yang dibenarkan beroperasi, katanya, wajib memastikan pematuhan ketat ke atas SOP oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Miti.

"Kegagalan mematuhi SOP adalah satu kesalahan dan boleh mengakibatkan kompaun dan / atau penutupan premis.

"Untuk memastikan pematuhan SOP yang berkesan, langkah penguatkuasaan yang komprehensif dan ketat akan dilakukan oleh agensi penguatkuasaan Persekutuan dan Negeri," katanya.

Katanya, untuk sektor selain pembuatan dan MRS, syarikat diminta merujuk kepada kementerian yang mengawal selia sektor masing-masing atau MKN.

Menurutnya, perlu ditegaskan bahawa Miti hanya boleh memberi kelulusan beroperasi kepada sektor perkilangan dan MRS.

"Sektor pembuatan dan MRS yang dibenarkan beroperasi akan memastikan gangguan minima kepada rantaian bekalan komponen dan produk siap kritikal.

"Ini adalah penting bagi menjamin kelangsungan operasi infrastruktur kritikal seperti keselamatan, kesihatan awam dan sistem informasi dan telekomunikasi serta memastikan bekalan keperluan asas mencukupi untuk rakyat," katanya.

Hari ini kerajaan menerusi sidang media petang tadi Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memperincikan sektor yang dibenarkan beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) atau total lockdown di seluruh negara bermula dari 1 hingga 14 Jun 2021.

Senarai sektor pembuatan dan perkhidmatannya yang dibenarkan beroperasi sepanjang PKP bermula dari 1 – 14 Jun 2021:

Kapasiti (60% pekerja):

1. Aeroangkasa (komponen dan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih - MRO)

2. Makanan dan minuman

3. Bahan pembungkusan dan percetakan

4. Barang-barang penjagaan diri, dan bahan pencuci

5. Keluaran penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet

6. Peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk sarung tangan getah dan

peralatan keselamatan kebakaran

7. Komponen bagi peranti perubatan

8. Elektrikal dan Elektronik

9. Minyak dan gas termasuk petrokimia dan produk petrokimia

10. Produk kimia

11. Mesin dan peralatan

12. Tekstil untuk pengeluaran PPE sahaja

13. Pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan dan pengagihan bahan api dan pelincir

Siap siaga (10% pekerja):

1. Automotif (kenderaan dan komponen)

2. Besi dan Keluli

3. Simen

4. Gelas

5. Seramik

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 8:07 PM