FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Hanya syarikat yang disenaraikan sebagai sektor perkhidmatan perlu dalam prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi lokasi untuk Fasa 1 dan 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) boleh beroperasi menggunakan surat baharu Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) dalam satu kenyataannya hari ini memaklumkan surat CIMS 3.0 yang baharu ini akan mempunyai akronim 'PPN' di bawah kod respon pantas (QR) surat berkenaan.

Menurutnya, seperti pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 1 Julai lalu, pergerakan syarikat dalam sektor perkhidmatan perlu bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) boleh menggunakan surat CIMS 3.0 sedia ada (dengan akronim PKP 3.0 di bawah kod QR).

"Semua surat kelulusan CIMS 3.0 perlu dibaca bersama-sama SOP PKPD semasa yang berkuat kuasa.

"Syarikat di kawasan PKPD yang bukan di bawah senarai sektor perkhidmatan perlu di dalam SOP MKN adalah tidak dibenarkan beroperasi sama sekali.

"Miti ingin mengingatkan pihak industri agar bertanggungjawab dalam penjagaan kendiri dan mematuhi SOP ini," katanya.

Miti berkata, ketidakpatuhan SOP berkenaan adalah satu kesalahan undang-undang mengikut Akta 342 dan boleh dikenakan tindakan oleh Pasukan Petugas Khas Covid-19.

Platform CIMS 3.0 itu dikongsi dengan 17 kementerian dan tiga agensi, setiap permohonan akan diproses dan diluluskan setiap kementerian dan agensi mengikut portfolio masing-masing.

Untuk maklumat lanjut status permohonan, syarikat boleh merujuk terus kepada kementerian atau agensi yang memproses permohonan mereka mengikut maklumat di dalam direktori di laman web www.miti.gov.my.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 2:34 PM