GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching : Orang ramai tidak perlu bimbang sehingga membuat pembelian panik berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sarawak mulai hari ini.

Ini kerana pengoperasian semua sektor ekonomi dan industri dibenarkan mulai 6 pagi hingga jam 8 malam mulai hari ini hingga 11 Jun depan.

Berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) PKP yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam, semua kedai runcit, kedai serbaneka, pasaraya, gedung beli belah (hanya premis atau bahagian rantaian barangan keperluan dan makanan) dibenarkan beroperasi mengikut syarat tempoh operasi dan syarat kapasiti akiviti pekerjaan yang ditetapkan dalam SOP PKP.

Turut dibenarkan beroperasi, pasar awam, pasar basah, pasar borong, kedai perkakasan, kedai elektrik dan elektronik, kedai pembungkusan dan percetakan, premis penjagaan kesihatan, penjualan, penyelenggaran dan pembaikan automotif serta peralatan kesihatan dan keselamatan.

Restoran, kedai makan, bistro, café, gerai makanan dan minuman dibenarkan hanya untuk menyediakan makanan secara bawa pulang, pandu lalu dan penghantaran manakala dine-in atau 'park and dine' adalah tidak dibenarkan.

Kedai menjual makanan haiwan dan produk pertanian juga dibenarkan beroperasi oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sarawak selepas mendapat kelulusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 1:20 PM