GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Mohd Roji Kawi


Kuching: Hanya ahli jawatankuasa masjid dan surau dibenarkan hadir untuk menunaikan solat fardu dan solat Jumaat di Sarawak mulai hari ini.

Itu ketetapan Majlis Islam Sarawak (MIS) dalam garis panduan prosedur operasi standard (SOP) pengimarahan masjid dan surau sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa hingga 11 Jun depan.

Berdasarkan SOP itu, hanya lima orang terdiri daripada pegawai masjid dan jawatankuasa pengurusan masjid atau surau dibenarkan hadir untuk solat lima waktu dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

Ketika solat Jumaat pula, hanya 15 orang terdiri daripada pegawai masjid dan jawatankuasa pengurusan masjid atau surau dibenarkan hadir juga dengan mematuhi penjarakan fizikal satu meter.

Pengimarahan masjid atau surau seperti ceramah, kuliah, kelas pengajian dan lain-ain ditangguhkan sementara, malah siaran langsung menerusi media sosial juga tidak dibenarkan di masjid dan surau.

Bagaimanapun pengurusan jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19 dibenarkan dijalankan di masjid dan surau dengan syarat kehadiran tidak melebihi sepuluh orang waris manakala pengurus jenazah adalah dibenarkan dengan bilangan yang sesuai.

Pengkebumian jenazah yang tiada kaitan dengan Covid-19 juga dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 10 waris sahaja dan petugas perkuburan dengan mematuhi penjarakan fizikal.

MIS menegaskan semua SOP Covid-19 hendaklah dipatuhi sebagaimana yang ditetapkan Lembaga Fatwa Negeri Sarawak, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian(JPBB), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Jurucakap MIS berkata, SOP itu boleh diubah atau dipinda dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Mei 2021 @ 12:42 PM