GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Roji Kawi


Kuching: Sarawak tidak melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sebaliknya meneruskan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa sejak 7 Mei lalu hingga 17 Mei ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, keputusan itu dicapai pada mesyuarat hari ini.

Sehubungan itu katanya, JPBN Sarawak memutuskan untuk memperketatkan syarat-syarat prosedur operasi standard (SOP).

"SOP itu menetapkan restoran, kedai makan, bistro, café, gerai makanan dan minuman tidak dibenarkan beroperasi secara "dine-in."

"Aktiviti pembekalan atau penjualan makanan hanya dibenarkan secara bawa balik, pandu lalu atau penghantaran sahaja," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, arahan itu berkuat kuasa mulai esok dan garis panduan PKPB terperinci akan diumumkan dalam laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sarawak.

Sementara itu, Majlis Islam Sarawak (MIS) mengeluarkan garis panduan sambutan Aidilfitri yang dibenarkan diraikan hanya sehari dengan ziarah raya dalam kalangan keluarga terdekat sahaja.

Takbir Aidilfitri dibenarkan di masjid dan surau mulai selepas solat Maghrib 1 Syawal (malam) dan tidak melebihi jam 10 malam serta selepas solat Subuh 1 Syawal (pagi) sehingga bermula solat sunat Aidilfitri.

Solat sunat Aidilfitri dibenarkan di masjid dan surau dengan bilangan jemaah hendaklah berdasarkan had kapasiti ruang keluasan masjid atau surau dengan penjarakan fizikal satu meter.

Jemaah hendaklah menggunakan pelitup muka sepanjang masa serta menjalani pengimbasan suhu badan.

Semua jemaah juga wajib mendaftar kehadiran melalui Mysejahtera atau buku rekod sebelum masuk ke dalam masjid atau surau serta membawa sejadah atau alas sujud sendiri, berwuduk di rumah tidak bersesak-sesak untuk masuk dan keluar masjid dan surau serta tidak bersalaman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 6:55 PM