FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Mohd Roji Kawi


Kuching: Kerajaan Sarawak belum membuat keputusan berhubung Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung penjarakan fizikal di masjid dan surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam dimansuhkan atau sebaliknya.

Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, yang turut bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Islam Sarawak berkata, Majlis Islam Sarawak (MIS) akan memutuskannya dalam masa terdekat.

"MIS akan mengadakan mesyuarat mengenainya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Sarawak, Richard Lon pula berkata pihaknya akan mengemukakan cadangan berhubung perkara itu kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

"Keputusan mengenai penjarakan fizikal di gereja atau rumah ibadat agama lain hanya akan diputuskan selepas penelitian oleh JPBN," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, JPBN Sarawak dijangka mengadakan mesyuarat bagi memperincikan langkah pembukaan sempadan selain membincangkan pengumuman Kerajaan Persekutuan berhubung penjarakan fizikal di rumah ibadat itu, Jumaat ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan aktiviti solat jemaah di masjid, surau atau upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula 1 April ini.

Bagaimanapun katanya pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid dan surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan untuk rumah ibadat selain Islam, tertakluk kepada Kementerian Perpaduan serta UNIFOR.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 2:20 PM