GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa lokaliti di Sabah, Pahang dan Johor berikutan peningkatan kes Covid-19.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Datuk Rodzi Md Saad berkata, PKPD akan dilaksanakan di Kampung Orang Asli Kuala Masai, Johor Bahru bermula tengah malam ini sehingga 8 September.

Beliau berkata, perintah sama turut dilaksanakan di Ladang Cheekah, Bera, Pahang yang akan bermula pada Jumaat ini sehingga 9 September.

"Sebanyak 10 lokaliti di Sabah akan dilaksanakan PKPD termasuk tiga di Telupid iaitu Kampung Gading, Kampung Ulu Sapi dan Ladang Melia.

"Dua lokaliti di Penampang membabitkan Beverly Hills Fasa 5 dan Kampung Nambazan manakala Kampung Lohan Ulu dan Kampung Libang di Ranau; Rancangan Batu 22 Apas, Tawau; Kampung Landung Ayang, Kudat serta Kampung Pengalat Kecil, Papar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Rodzi berkata, kesemua PKPD di Sabah itu akan bermula Jumaat ini sehingga 9 September.

Sementara itu, beliau berkata, berdasarkan analisa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai trend jangkitan Covid-19 memerlukan lapan lokaliti PKPD di Sabah yang dijadualkan tamat esok dilanjutkan selama 14 hari lagi sehingga 9 September.

Menurutnya, lokaliti terbabit adalah Kampung Betutai; Kampung Bontoi; Kampung Kindu; Kampung Serusop; Taman Sri Rugading; dan Taman Telipok Ria di Tuaran; Kampung Bergosong, Pulau Sebatik serta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Apas Batu 8, Tawau.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 15 lokaliti PKPD masing-masing tiga di Kelantan dan 12 di Sabah pula ditamatkan seperti yang dijadualkan tengah malam ini.

"PKPD berkenaan adalah Kampung Jedip WCT; Kampung Seng Sang dan Kampung Sendrop di Gua Musang.

"Manakala di Sabah adalah Kampung Bolong Baru; Kampung Sungai Damit; Kampung Simpangan; Ladang Bukit Mas; Ladang Linbar 1; Kampung Lahjat-Lahat, Pulau Sebatik; Perumahan Ladang Reka Halus; Perumahan Ladang Boustead Trunkline; Kampung Kayu Madang, Telipok, Kota Kinabalu; Kampung Batition, Kota Marudu dan Kampung Sunsuron, Tambunan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Ogos 2021 @ 7:29 PM