Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my


Bachok: Polis Kelantan memerlukan beberapa unit dron untuk memantau aktiviti jenayah rentas sempadan negara di negeri itu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, setakat ini pihaknya hanya mempunyai dua unit dron biasa yang digunakan Unit Pencegahan Jenayah.

Bagaimanapun, katanya, dron digunakan itu hanya mampu naik pada ketinggian sehingga 500 meter sahaja.

"Untuk dron dikhaskan di sempadan, ia jauh lebih canggih berbanding dron biasa dan sangat sesuai digunakan untuk memantau jenayah di kawasan sempadan di Kelantan bermula dari Tumpat ke Jeli.

"Kami sudah mengemukakan permohonan untuk peralatan itu sebelum ini, namun sehingga kini belum mendapat maklum balas daripada pihak atasan.

"Kami berharap Kelantan dibekalkan dengan beberapa unit dron berkenaan kerana sempadan Kelantan-Thailand terlalu panjang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau Kampung Pauh Lima, di sini, yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai tengah malam tadi sehingga 1 Jun depan.

PKPD di kawasan berkenaan membabitkan 1,032 penduduk dan 10 sekatan jalan raya (SJR) dibuat bagi mengekang pergerakan penduduk.

Media sebelum ini melaporkan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) memohon kerajaan menyegerakan perolehan penggunaan dron bagi meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan sempadan negara.

GAMBAR hiasan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
GAMBAR hiasan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Pengarahnya, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar dilaporkan berkata, sistem dron menjadi responden pertama untuk mengenal pasti risiko dan ancaman terutama di sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, semua pengawasan operasi dapat dipantau secara langsung daripada jauh melalui pelbagai peranti, sekali gus memberi jaminan pengawasan dan keselamatan sempadan lebih berkesan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 12:19 PM