GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hidayatidayu Razali


Bachok: Polis Kelantan akan menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) dan dron untuk memantau semua pangkalan haram di sempadan Malaysia-Thailand iaitu dari Pasir Mas ke Jeli.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, terdapat 28 pangkalan haram yang dikesan aktif dan kebanyakannya berada di daerah Pasir Mas.

Katanya, pihak polis bersedia melakukan tugas mengawal sempadan negara termasuk di pangkalan haram dengan dibantu oleh pelbagai agensi termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA).

"Kita akan menggunakan kecekapan termasuk Unit Anjing Pengesan (K9) dan dron bagi mencegah aktiviti penyeludupan serta jenayah rentas sempadan.

"Penggunaan dron ini bagi memudahkan pemantauan aktiviti jenayah melalui udara sekali gus dapat memudahkan pasukan keselamatan untuk bertindak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Ketua Polis Kelantan bersama Ketua Jabatan, Ketua Polis Daerah dan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Pegawai Rendah Peringkat Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua-Ketua Polis Daerah di Kelantan.

Mengulas lanjut Shafien berkata, bukan sahaja di pangkalan haram itu, polis bersama agensi lain turut memantau lokasi lain.

"Kita juga akan membuat kawalan sempadan di Jeli, Gua Musang dan Pasir Puteh bagi membendung semua bentuk jenayah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 3:44 PM