Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Seramai 50,000 individu di negeri ini sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi fasa pertama dan fasa kedua.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, dalam fasa dua PICK seramai 9,000 individu terdiri daripada warga emas dan golongan berisiko yang berdaftar dan sepatutnya menerima suntikan vaksin, namun 1,800 daripadanya gagal hadir ke pusat vaksinasi yang ditetapkan.

"Mengikut jadual, suntikan vaksin bagi fasa ketiga sudah dimulakan bulan ini, namun ia tertangguh disebabkan fasa kedua yang belum selesai berikutan beberapa faktor.

"Berdasarkan kajian, dua peratus rakyat di negeri ini menolak suntikan vaksin disebabkan mereka ragu dari segi halal dan haram vaksin selain bimbang kesan sampingan yang diterima dan terpengaruh dengan berita tidak sahih seperti yang diuar-uarkan dalam media sosial.

"Pada masa sama, ada juga yang beranggapan vaksin yang diterima tidak memberi manfaat kepada perlindungan diri untuk mencegah wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Gelanggang Seni, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, ketika PICK fasa pertama pihaknya tidak mengalami masalah kerana ia membabitkan petugas barisan hadapan.

"Individu yang tidak dapat hadir atau mempunyai halangan untuk hadir menerima suntikan vaksin diharapkan mereka dapat memaklumkan perkara ini lebih awal kepada pihak kami untuk mengelakkan daripada berlakunya pembaziran.

"Seboleh-bolehnya kita tidak mahu berlakunya pembaziran kerana sekiranya beg vaksin sudah dibuka ia mesti digunakan sepenuhnya dan tidak boleh di simpan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Zaini berkata, setakat ini terdapat 10 PKRC di negeri yang dibuka termasuk di Pasir Mas dan Tanah Merah susulan peningkatan mendadak kes Covid-19 bagi menempatkan pesakit yang memerlukan pemerhatian.

DR Zaini (tengah) diiringi Dr Mohd Azman (kiri) memeriksa sebahagian katil ketika  meninjau persiapan akhir di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Khas di Gelanggang Seni. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
DR Zaini (tengah) diiringi Dr Mohd Azman (kiri) memeriksa sebahagian katil ketika meninjau persiapan akhir di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Khas di Gelanggang Seni. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

"Sebanyak 1,940 katil disediakan di kesemua PKRC dan fasiliti di sembilan PKRC kecuali di Gelanggang Seni yang akan beroperasi bermula esok sudah mencapai tahap maksimum.

"Dalam perancangan, sekiranya kes Covid-19 menunjukkan trend peningkatan, kita mungkin akan menjadikan PKRC di Gelanggang Seni ini sebagai hospital medan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 2:44 PM