Anggota perubatan membuat persiapan akhir di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Khas di Gelanggang Seni yang dilengkapi dengan 30 katil klinikal dan 50 katil bertingkat dijangka akan beroperasi petang hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Anggota perubatan membuat persiapan akhir di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Khas di Gelanggang Seni yang dilengkapi dengan 30 katil klinikal dan 50 katil bertingkat dijangka akan beroperasi petang hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Kelantan akan menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) sekiranya kes harian di negeri itu lebih 500 kes secara berterusan.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, setakat ini sebanyak 10 PKRC yang sedia ada masih mampu menampung jumlah pesakit Covid-19.

"Sekiranya kes harian masih seperti sekarang iaitu lebih 300 kes setiap hari, PKRC yang sedia ada masih mampu menampung kerana terdapat ratusan pesakit yang keluar dari PKRC setiap hari.

"Walaupun sehingga kini peratusan pesakit mencecah lebih 80 peratus, saya menjangkakan ia masih menampung pesakit harian.

"Cuma, jika kes terus meningkat sehingga 500 hingga 600 kes secara berterusan, kita akan membuka PKRC lain. Kita sentiasa berbincang mengenai persediaan PKRC baru dan jika berlaku pertambahan PKRC, mungkin ia akan dibuka di Padang Perdana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau pembukaan PKRC Khas di Gelanggang Seni, di sini, hari ini yang mampu memuatkan 126 pesakit bagi katil biasa dan 30 pesakit untuk katil perubatan.

Mengulas mengenai PKRC Khas Gelanggang Seni, Dr Azman berkata, PKRC berkenaan akan menempatkan dua pasukan perubatan iaitu untuk memantau pesakit yang berada di katil biasa dan pesakit yang menggunakan katil perubatan.

"Untuk 30 katil perubatan, kita menerima pesakit berkenaan sama ada dari hospital atau mereka yang dibawa dari rumah yang berada pada tahap tiga.

"Pada masa sama, kita akan menempatkan doktor pakar secara harian yang akan memantau pesakit tahap tiga berkenaan," katanya.

Beliau berkata, setakat ini 10 pesakit akan mula memasuki PKRC berkenaan petang ini bagi katil bertingkat, manakala enam pesakit untuk katil perubatan termasuk dari Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Kebiasaannya, setiap kali kita membuka PKRC, ia akan penuh tidak sampai 24 jam dan kita menjangkakan di Gelanggang Seni ini akan penuh dalam masa terdekat," katanya.

Dr Azman berkata, setakat ini seramai 1,300 pesakit Covid-19 yang menjalani kuarantin di rumah dan pihaknya berusaha untuk mengurangkan jumlah berkenaan bagi mengelak risiko.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 2:55 PM