Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Ingin menyambut Aidilfitri di rumah dikesan menjadi alasan individu yang positif Covid-19 enggan hadir menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Alasan itu diterima kebelakangan ini berikutan Aidilfitri semakin tiba dan keengganan itu menyusahkan petugas di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) apabila terpaksa turun padang memujuk pesakit untuk menjalani kuarantin di PKRC.

Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob berkata, tindakan itu menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya mereka yang positif Covid-19 masih rendah terhadap bahaya wabak itu dengan memberi keutamaan untuk berhari raya.

"Kami dapati ada yang enggan datang ke PKRC ketika Aidilfitri makin menjelang apabila diminta berbuat demikian kerana ingin berhari raya di rumah bersama sanak saudara.

"Mereka sanggup mengambil risiko walaupun positif Covid-19 dan wakil kami di PKD terpaksa turun padang dan memujuk mereka supaya menjalani kuarantin di PKRC," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Shikh Muhammad Makhdad (berdiri) bersama rakan baiknya yang terputus hubungan Norazman (duduk) kini dirawat di PKRC MITC. FOTO ihsan pembaca
Shikh Muhammad Makhdad (berdiri) bersama rakan baiknya yang terputus hubungan Norazman (duduk) kini dirawat di PKRC MITC. FOTO ihsan pembaca

Dr Mohd Azman berkata, ia suatu cabaran buat petugas kesihatan kerana kesedaran untuk memutuskan rantaian wabak itu tidak menyeluruh, malah masyarakat lebih memilih untuk berhari raya daripada menjaga nyawa sendiri dan orang sekeliling.

Katanya, setakat ini pesakit berjaya dipujuk untuk hadir ke PKRC namun jika ada yang tetap berdegil, mereka boleh bertindak di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

"Di bawah akta itu, kami boleh hadir bersama pihak berkuasa (polis) untuk 'menjemput' mereka datang ke PKRC tapi setakat ini kami masih berjaya memujuk," katanya.

Beliau terdahulu meninjau tapak PKRC kelapan bertempat di Gelanggang Seni yang akan dibuka kira-kira tiga hari lagi.

Dianggap PKRC khas, pusat kuarantin itu akan dilengkapi 30 katil klinikal serta kelengkapan perawatan khas untuk pesakit warga emas manakala 50 lagi katil dua tingkat bagi 100 pesakit Covid-19 yang terdiri daripada wanita muda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 12:17 PM