Zuliaty Zulkiffli

Kulim: Polis menjalankan siasatan terhadap penyanyi, Masya Masyitah yang didakwa pulang ke kampung halaman di sini, dari Kuala Lumpur menggunakan surat merentas negeri ibunya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, beliau mengarahkan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat, artis terbabit didakwa pulang ke kampung menggunakan surat kebenaran merentas negeri pasangan jarak jauh disebabkan ibu dan bapanya tinggal berjauhan.

"Setakat ini saya boleh katakan, siasatan masih dijalankan dan kita akan tengok adakah benar apa yang ditularkan di Facebook (FB).

"Sekiranya ada unsur yang menyalahi undang-undang, tindakan tegas akan diambil terhadap artis terbabit," katanya selepas melakukan pemeriksaan kenderaan di sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Lunas, di sini hari ini.

AZHAR (dua kanan) melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan di Plaza Tol Lunas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
AZHAR (dua kanan) melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan di Plaza Tol Lunas. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Media sebelum ini melaporkan, Masya Masyitah atau nama sebenarnya Siti Nurmasyitah Mohd Yusoff memohon maaf dan memberi penjelasan mendapat 'lampu hijau' daripada pihak berkuasa untuk pulang ke Kulim atas tiket ibu bapa sebagai pasangan jarak jauh.

Selepas mendapat pelepasan rentas negeri yang dimohon ibunya, secara tidak langsung dia juga berpeluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga selepas mereka terpisah dengan bapa serta adik beradik berikutan tidak boleh merentas negeri pada sambutan raya tahun lalu.

Bagaimanapun, penjelasan artis menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan warganet yang mendakwa dia mengambil kesempatan merentas negeri menggunakan tiket kebenaran ibunya.

MASYA bersama ibunya. FOTO IG masyitah_masya
MASYA bersama ibunya. FOTO IG masyitah_masya

Berita berkaitan

Masya Masyitah mohon maaf

Masya dapat balik kampung jumpa ayah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 6:11 PM