Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Suami pengasuh wanita yang didakwa meliwat dan membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan di sebuah unit pangsapuri di Jalan PJU 1A/42 di sini, pada 27 April lalu akan didakwa di mahkamah esok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, suspek lelaki dan isterinya berusia 35 tahun itu sebelum ini direman 13 hari bermula 30 April lalu sehingga esok bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, hasil bedah siasat terhadap mangsa mendapati terdapat kesan lebam di bahagian mulut disyaki ditekup menggunakan tangan dan beberapa kesan koyakan di bahagian dubur si mati dipercayai akibat kemasukan benda tumpul.

"Punca kematian adalah kerana mulut ditekup sehingga kesesakan nafas dan menyebabkan kematian.

"Hasil ujian saringan air kencing ke atas kedua-dua suspek adalah positif syabu di mana semakan rekod jenayah lampau ke atas kedua-dua mereka mendapati lelaki itu memiliki dua rekod jenayah lampau kes dadah sementara isterinya tiada rekod jenayah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, hari ini.

Mohamad Fakhrudin berkata, kertas siasatan sudah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor dengan suspek lelaki akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C Kanun Keseksaan esok.

"Manakala isterinya pula akan dibebaskan dan dijadikan saksi pendakwaan serta akan dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.
Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

Harian Metro pada 30 April lalu melaporkan polis menahan pengasuh wanita dan suaminya selepas disyaki membunuh seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan.

Pasangan berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah rumah di pangsapuri Jalan PJU 1A/42 di sini, pada 8 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 1:55 PM