FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Polis menahan pengasuh wanita dan suaminya selepas disyaki membunuh seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan, pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pasangan berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah rumah di pangsapuri Jalan PJU 1A/42 di sini, pada 8 malam tadi.

"Pada mulanya polis menerima maklumat daripada seorang doktor hospital kerajaan mendakwa menerima bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.

"Bayi itu dibawa seorang lelaki dipercayai suami pengasuh, pada 7 malam hari kejadian.

"Hasil bedah siasat mendapati terdapat kesan lebam di bahagian mulut dan cedera di bahagian dubur mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat itu polis menahan pasangan suami isteri itu bagi membantu siasatan lanjut.

Menurutnya, semakan rekod lampau mendapati suspek lelaki mempunyai dua rekod berkaitan dadah.

Katanya, kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 April 2021 @ 7:28 PM