GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Hassan Omar


Masjid Tanah: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan mendapatkan laporan lengkap siasatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung kejadian seorang bayi lelaki dipercayai dibunuh pengasuh dan suaminya.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, beliau tidak mahu mengulas lanjut kerana tidak mempunyai maklumat lengkap berhubung kejadian itu.

"Saya akan semak," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Bakul Makanan Permai kepada 400 penerima dan melancarkan Sukarelawan Masjid Tanah (SMART) di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Masjid Tanah, di sini, tadi.

Selain menerima kit makanan, mereka turut diberikan duit raya bagi meringankan beban membuat persiapan menjelang Aidilfitri.

Turut hadir, Timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Kelmarin Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dilaporkan berkata, polis menahan pengasuh wanita dan suaminya selepas disyaki membunuh bayi berusia sembilan bulan, Selasa lalu.

Katanya, pasangan berusia 35 tahun itu ditahan di sebuah pangsapuri di Jalan PJU 1A/42 Petaling Jaya pada jam 8 malam Rabu lalu.

Polis menerima maklumat daripada seorang doktor hospital kerajaan yang mendakwa menerima bayi lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri.

RINA berucap sambil menghampiri penerima Bakul Makanan Permai di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
RINA berucap sambil menghampiri penerima Bakul Makanan Permai di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM), Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar

Bayi itu dibawa seorang lelaki dipercayai suami pengasuh, pada jam 7 malam hari kejadian dan bedah siasat mendapati ada kesan lebam di bahagian mulut dan cedera di bahagian dubur mangsa.

Rina juga enggan mengulas ketika ditanya sama ada prosedur operasi standard (SOP) di pusat asuhan atau taman didikan kanak-kanak (tadika) akan dikaji semula bagi mengelak berlaku kes penderaan.

Sementara itu Rina berkata, permohonan daripada pelbagai pihak untuk mendapatkan bantuan kementeriannya meningkat kepada lebih 500,000 berbanding 469,000 sebelum ini.

"Ia dipercayai berpunca daripada kesempitan hidup yang terpaksa dilalui anggota masyarakat akibat pandemik Covid-19 yang menyebabkan ada yang kehilangan pekerjaan," katanya.

Mengenai warga emas yang sudah menerima suntikan vaksin dos pertama fasa kedua menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Rina berkata, lebih 10,000 sudah disuntik setakat ini.

Sehubungan itu, beliau meminta SMART melipatgandakan usaha membantu mendaftarkan warga emas melalui aplikasi MySejahtera atau melalui pusat kesihatan bagi mendapatkan vaksin.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 3:12 PM