Ismail Sabri Yaakob
Ismail Sabri Yaakob
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Kerajaan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Kahang Timur, Kluang, Johor dan Kampung Bako Hilir, Kuching, Sarawak bermula 12 hingga 25 Mei ini.

Selain itu, kerajaan bersetuju untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mukim Hulu Besut, Besut, Terengganu bermula 11 hingga 20 Mei dan melanjutkan tempoh PKPD di Felda Umas, Kalabakan, Sabah hingga 25 Mei ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan berlaku peningkatan kes positif secara mendadak dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di semua lokaliti berkenaan.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan semua tindakan terbabit.

"Kerajaan juga bersetuju menamatkan PKPD yang dikenakan di Maahad Tahfiz Al-Azhari, Machang, Kelantan; Sekolah Menengah Kebangsaan Ulu Balingian, Sibu, Sarawak; Kampung Bangkahulu, Gemas, Negeri Sembilan; Projek Perumahan Rakyat Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman dan PPR Batu 8 Jalan Apas, Tawau, Sabah dan Kompleks Abedon (Bumiwealth, Kolopis & Tanaki), Kinabatangan, Sabah," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengulas berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Ismail Sabri berkata, seramai 460 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP semalam dan daripada jumlah itu, seramai 456 individu dikompaun manakala empat lagi direman.

"Antara kesalahan ialah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (106), tidak memakai pelitup muka (80), tiada penjarakan fizikal (79), aktiviti pusat hiburan (50), rentas negeri atau daerah tanpa kebenaran (3) dan lain-lain (142).

"Seramai 3,992 Pasukan Pematuhan melibatkan 15,232 anggota membuat pemantauan di 4,930 pasar raya, restoran (4,849), kilang (2,115), bank (4,043), pejabat kerajaan (903) dan penjaja (3,689).

"Turut dipantau ialah pasar awam dan tani (2,303), tempat ibadah (3,297), tempat riadah (1,714), terminal pengangkutan darat (1,808), terminal pengangkutan air (391) dan terminal pengangkutan udara (121)," katanya.

Menurutnya, menerusi Op Benteng, seramai 20 pendatang asing tanpa izin ditahan dan sebuah kenderaan darat dirampas.

"Sebanyak 90 bot dan kapal turut dikesan di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 8:07 PM