GAMBAR hiasan. FOTO Farizul Hafiz Awang.
GAMBAR hiasan. FOTO Farizul Hafiz Awang.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua kawasan di Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula esok sehingga 21 April ini.

Kawasan berkenaan adalah Kampung Serpan Laut, Asajaya, Bahagian Samarahan dan Penjara Sri Aman dan Kuarters Kakitangan, Sri Aman.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan peningkatan kes di kedua-dua kawasan berkenaan.

"Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di dua kawasan berkenaan.

"Kerajaan juga bersetuju melanjutkan PKPD di Kampung Batu Gong, Siburan, Serian Sarawak sehingga 23 April ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, PKPD di dua kampung di Kota Belud, Sabah iaitu Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu ditamatkan esok.

Mengulas berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP), Ismail Sabri berkata, 92 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP, dengan 88 dikompaun manakala empat empat lagi direman.

"Seramai 3,659 Pasukan Pematuhan membabitkan 16,027 anggota membuat pemantauan di 4,439 pasar raya; restoran (5,714); kilang (2,255); bank (3,809); pejabat kerajaan (1,119) dan penjaja (2,736).

"Turut dipantau ialah pasar awam/tani (2,206); tempat ibadah (3,118); tempat riadah (1,850), terminal pengangkutan darat (1,552); terminal pengangkutan air (377) dan terminal pengangkutan udara (138)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 April 2021 @ 6:00 PM