AMINUDDIN (kanan) bersama Nicole bertanya khabar serta memberi kata semangat kepada Nor Ain (duduk kiri), hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL.
AMINUDDIN (kanan) bersama Nicole bertanya khabar serta memberi kata semangat kepada Nor Ain (duduk kiri), hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL.
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Saya belikan baju baharu untuk sambut Aidilfitri, tetapi rasa terkilan kerana baju Mohamad Syafiq Mustaqim sekadar tinggal kenangan," kata Nor Ain Ismail, ibu kepada Mohamad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly, yang dikhuatiri lemas sejak petang semalam.

Sehingga 7 malam ini, Mohamad Syafiq Mustaqim, 8, belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan selepas kanak-kanak itu tergelincir ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras di berhampiran rumahnya di Flat Cempaka di Seremban 2, di sini, 4 petang semalam.

Nor Ain, 27, berkata dia rasa terkejut dengan sikap anak ketiga daripada empat beradik itu yang tidak gembira dengan baju baharu berkenaan kerana lazimnya dia teruja dengan benda baharu termasuk pakaian.

Menurutnya, dia tidak menyangka sama sekali perubahan sikap Mohamad Syafiq Mustaqim itu seolah-olah memberi petanda sesuatu akan berlaku pada dirinya.

"Saya terkejut apabila menerima maklumat dia terjatuh dalam longkang dan dibawa arus deras.

"Sebelum kejadian iaitu pada 2 petang saya balik dari tempat kerja membawa makanan dimintanya dan sejam selepas itu beredar ke tempat kerja semula.

"Saya pesan pada dia jangan keluar rumah kerana cuaca kurang baik dan pada 4.30 petang, saya menerima berita dia terjatuh ke dalam longkang," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun turut melawat keluarga berkenaan di lokasi kejadian dan menyampaikan sumbangan.

Nor Ain ternyata tidak dapat menahan sebak kerana terlalu sedih dengan tragedi menimpa keluarganya itu tatkala anaknya masih belum ditemui walaupun operasi SAR sudah dijalankan sebaik kejadian itu dilaporkan.

Nor Ain masih setia menunggu di lokasi operasi SAR kerana tidak mampu untuk pulang ke rumah selagi anaknya itu belum ditemui.

"Hati saya tak tenang selagi anak saya tidak dijumpai dan akan tetap tunggu di sini," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata, melalui tinjauannya di lokasi kejadian mendapati penutup longkang terbabit hilang dipercayai dicuri.

Beliau berkata, walaupun mungkin ada kesilapan daripada keluarga kanak-kanak terbabit, tetapi kehilangan penutup longkang mungkin menjadi punca mangsa tergelincir sebelum dibawa arus deras.

"Justeru, saya mohon pihak berkuasa berkaitan memberi perhatian terhadap perkara ini (penutup longkang) untuk mengelak kejadian ini berulang pada masa depan.

"Semua pihak berkuasa harus memastikan saliran dan takungan dalam keadaan baik dengan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

"Saya berharap ibu bapa dan penjaga mengawasi pergerakan anak kerana keadaan cuaca tidak menentu dan musim hujan ketika ini yang boleh mengundang sebarang kejadian tidak diingini," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2, Mohd Asree Abd Hamid berkata, pencarian Mohammad Syafiq Mustaqim sudah melangkaui lebih lima kilometer dari lokasi awal mangsa terjatuh sehingga ke kolam takungan.

Beliau berkata, pasukan kedua pula melakukan pencarian dari kolam takungan hingga ke Sungai Linggi yang membabitkan pencarian sehingga sejauh lebih lima kilometer.

Berita berkaitan

'Pencarian kanak-kanak dikhuatiri lemas diperluas hingga ke Sungai Linggi [METROTV]'

'Sempat ucap 'selamat tinggal' sebelum dibawa arus'

'Budak lelaki dikhuatiri lemas selepas jatuh longkang'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 9:34 PM