Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Taklimat Pembiayaan Tekun Nasional Vanakam MADANI di Dewan Datuk Abdul Hamid Batang Kali malam ini. FOTO BERNAMA
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ramanan Ramakrishnan beramah mesra dengan orang ramai yang hadir pada Majlis Taklimat Pembiayaan Tekun Nasional Vanakam MADANI di Dewan Datuk Abdul Hamid Batang Kali malam ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Hulu Selangor: Masyarakat India dinasihatkan supaya menjadi rakyat yang bertanggungjawab dengan keluar mengambil bahagian dalam proses demokrasi bagi memilih wakil rakyat baharu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), Sabtu ini.

Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR Datuk R. Ramanan berkata komuniti itu tidak seharusnya termakan dengan sentimen yang digerakkan pihak tertentu yang menyeru mereka memboikot PRK berkenaan.

"Kita di Malaysia ini kita aman damai antara satu sama lain, kita boleh hidup... tapi apa yang saya hairan antara komuniti (India) kita sendiri, satu komuniti yang sama, mereka cuba melakukan perpecahan. Ini sangat mengecewakan dan menjijikkan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Taklimat Pembiayaan Skim Pembiayaan Usahawan Masyarakat India (SPUMI)/SPUMI Goes Big Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di sini.

PRK KKB menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Dalam perkembangan lain, Ramanan yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengingatkan masyarakat India supaya memanfaatkan inisiatif SPUMI Goes Big yang menerima peruntukan tambahan RM30 juta bagi tujuan pemerkasaan dalam bidang keusahawanan.

Beliau berkata setakat ini, pihaknya telah menerima 21 permohonan sejak ia diumumkan pada 3 April lalu dengan sebanyak enam permohonan telah diluluskan membabitkan jumlah pembiayaan sebanyak RM250,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 10:33 PM