Nurul Hidayah Bahaudin


IBU kepada Muhd Suhail Fadzli, 10, yang dilaporkan lemas di Sungai Bakau berhampiran sebuah flat di Country Homes, Rawang, semalam, menyifatkan anaknya baik dan kelakar.

Pada kejadian 3 petang semalam, Muhd Suhail dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus deras di sungai terbabit.

Nor Faiza Basran, 30-an, berkata, ketika kejadian, dia bekerja sebelum dihubungi anak sulung, Faid Fahim Fadzli, 11, yang memaklumkan kejadian.

"Sebaik menerima panggilan itu, saya bergegas ke lokasi dan dimaklumkan pihak berkuasa mengenai perkara berkenaan.

"Saya tidak tahu nak gambarkan perasaan saya ketika ini," katanya ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Katanya, kedua-dua anaknya jarang ke lokasi itu.

Dia turut meminta orang ramai mendoakan supaya Muhd Suhail ditemui.

Sementara itu, Ketua Bomba dan Penyelamat Daerah Gombak Penguasa Kanan Bomba Samsol Maarif Saibani berkata, kejadian berlaku ketika mangsa bersama abangnya bermain di kawasan sungai berkenaan yang terletak berhampiran rumah mereka.

"Menurut abang mangsa, dia dan adiknya terjatuh ke dalam sungai itu. Namun, dia berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada rumput berhampiran sebelum naik ke tebing.

"Bagaimanapun, mangsa yang berpaut pada rumput lain dihanyutkan oleh arus deras. Abang mangsa terus meminta bantuan seorang lelaki yang menunggang motosikal yang melalui jalan raya berhampiran lokasi terbabit," katanya.

NOR Faiza (dua dari kiri) berdoa anaknya segera ditemui. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
NOR Faiza (dua dari kiri) berdoa anaknya segera ditemui. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin

Samsol berkata, lelaki itu kemudian pergi ke jambatan berhampiran lokasi kanak-kanak itu dihanyutkan.

"Menurut saksi terbabit, mangsa dilihat dihanyutkan sungai berkenaan sebelum hilang di Jambatan Kampung Melayu, Sungai Bakau.

"Saksi berkenaan kemudian memaklumkan menghubungi pihak berkuasa untuk menyelamatkan mangsa," katanya.

Beliau berkata, 50 pegawai dan anggota pelbagai agensi terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak berkenaan yang bersambung semula jam 7 pagi tadi.

"Operasi SAR dibantu orang awam terdiri daripada ahli keluarga, guru sekolah mangsa dan penduduk kampung selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan dron milik mereka.

"Tiga bot, jentera dan lori digunakan dalam operasi ini dengan pencarian di permukaan sungai serta dibantu oleh Unit Anjing Pengesan (K9) bagi mengesan kedudukan mangsa," katanya.

Katanya, radius pencarian mangsa juga diperluaskan kepada 36 kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.

"Ia membabitkan laluan dari Sungai Bakau ke Sungai Guntong sehingga ke kawasan perangkap sampah di Sungai Selangor yang terletak di Bestari Jaya.

"Bagaimanapun hasil pencarian dilakukan hari ini, kami masih belum berjaya mengesan kedudukan mangsa.

"Berikutan itu, operasi SAR pada hari ini ditangguhkan 7 malam dan akan disambung semula kira-kira 7 pagi esok," katanya.

Berita berkaitan

Radius operasi mencari Suhail diperluas

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Jun 2020 @ 7:34 PM