MOHD Said (kanan) menenangkan Nor Ain sambil diperhatikan Nicole Tan (kiri) di tempat kejadian, malam ini. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
MOHD Said (kanan) menenangkan Nor Ain sambil diperhatikan Nicole Tan (kiri) di tempat kejadian, malam ini. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam longkang berhampiran rumahnya di Flat Cempaka di Seremban 2, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, dalam kejadian 4 petang itu, mangsa, Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly dikatakan tergelincir ke dalam longkang sebelum dihanyutkan arus deras.

Beliau berkata, mangsa dikatakan bermain dengan seorang abangnya berusia sembilan tahun dan seorang rakan lain berusia 12 tahun sebelum tergelincir ke dalam longkang.

"Pada 4.20 petang, sepasukan 10 anggota polis bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan. Operasi dibantu pasukan bomba dengan kekuatan 14 anggota serta sembilan unit skuba.

"Ketika kejadian, kawasan itu hujan lebat. Operasi pencarian masih dilakukan dari lokasi mangsa terjatuh sehingga ke Taman Arowana," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, malam ini.

Turut berada di lokasi kejadian adalah ibu mangsa, Nor Ain Ismail, 27, bersama ahli keluarga lain serta Pengerusi Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon.

Beliau berkata, setakat ini mangsa belum dijumpai dan tiada sebarang petunjuk serta usaha pencarian masih diteruskan.

Katanya, berdasarkan penilaian bomba, laluan air dari lokasi mangsa terjatuh akan terus ke Mambau.

"Kami akan teruskan operasi pencarian sehingga mangsa ditemui dan mungkin akan disambung semula esok andai mangsa belum ditemui.

"Selepas itu mungkin kita akan membuat penilaian semula dan akan memaklumkan perkembangan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 10:55 PM