GAMBAR kenangan Allahyarham Ahmad Azza bersama keluarganya. FOTO Ihsan Keluarga
GAMBAR kenangan Allahyarham Ahmad Azza bersama keluarganya. FOTO Ihsan Keluarga
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hasrat Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar untuk membawa keluarga bercuti dan pulang ke kampung halaman bapanya di Kelantan tidak kesampaian selepas maut dalam insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi.

Lebih menyedihkan, percutian bersama ibu bapa dan tujuh adik-beradiknya itu dirancang Allahyarham Ahmad Azza Fahmi, 22, yang mesra disapa Ami, bagi 'menebus' masa bersama keluarga yang tidak dapat dipenuhi pada Aidilfitri baru-baru ini kerana tuntutan tugas.

Azza Asyariena Azhar, 27, kakak kepada Allahyarham berkongsi adiknya itu sering meluahkan hasrat berkenaan ketika membuat panggilan video bersama keluarga.

"Dia memang cakap nak balik bercuti hujung bulan Jun ini dan bawa keluarga pergi jalan-jalan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Anak kedua daripada lapan beradik itu juga menyifatkan Ahmad Azza Fahmi seorang yang sangat baik dan murah dengan senyuman selain tidak pernah berkira dengan keluarga.

"Dalam kalangan rakan-rakannya, mungkin Ami seorang yang pendiam, tetapi dalam keluarga mulut arwah paling riuh dan arwah ini sangat ringan tulang.

"Dia suka sangat mengusik adik-adiknya. Ami memang seorang family man (lelaki mementingkan keluarga), dia sentiasa ada ketika kami memerlukannya," katanya sambil menambah Allahyarham bertugas di Balai Polis Ulu Tiram sejak dua tahun lepas.

GAMBAR kenangan Ami bersama kedua-dua orang tuanya. FOTO Ihsan Keluarga
GAMBAR kenangan Ami bersama kedua-dua orang tuanya. FOTO Ihsan Keluarga

Azza Asyariena berkata, kenangan berbuka puasa beramai-ramai dua bulan lepas adalah kenangan kali terakhir mereka bertentang mata secara fizikal dengan anak keempat itu.

"Kami memang boleh dikatakan hari-hari akan (buat) panggilan video dengan semua adik-beradik. Kami akan kemas kini urusan harian masing-masing. Arwah juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian," katanya.

Beliau berkata, jenazah Ahmad Azza Fahmi dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Poh, Bidor di Perak hari ini atau awal pagi esok selepas proses bedah siasat selesai.

Sementara itu, sahabat Allahyarham, Mohammad Munsyi Aziz Abdullah, 21, pula tidak menyangka panggilan video antara mereka dua hari lepas adalah yang terakhir.

"Kami mempunyai minat yang sama berkaitan motosikal, selalunya kami akan sembang berkaitan perkara itu (motosikal) dan cerita kehidupan semasa masing-masing.

"Arwah seorang yang sangat baik dan dia tidak kedekut dengan kawan-kawan. Semenjak dia bekerja sebagai polis, setiap kali keluar makan (jika balik bercuti), dia akan belanja makan," katanya yang membesar bersama Allahyarham di Kampung Poh.

Dalam kejadian 2.45 pagi itu, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan suspek, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.

TANGKAP layar hantaran   Azza Asyariena di media sosial. FOTO media sosial
TANGKAP layar hantaran Azza Asyariena di media sosial. FOTO media sosial

Berita berkaitan:

Keluarga suspek serang Balai Polis Ulu Tiram memencilkan diri, tidak bergaul dengan penduduk

Serangan Balai Polis Ulu Tiram: 7 individu direman esok

Balai Polis Ulu Tiram diserang: KPN lawat Koperal Mohd Hasif di HSI

Balai polis diserang: Bedah siasat 2 mangsa, suspek sedang dijalankan

2 anggota polis terkorban dikebumikan di Bidor, Gambang

Kronologi serangan Balai Polis Ulu Tiram

Polis tolak andaian akan berlaku serangan lain

Suspek buat persediaan awal serang balai polis

2 pelajar IPT ditahan, kait serangan Balai Polis Ulu Tiram

Polis buru 20 ahli JI di Johor - KPN

5 ahli keluarga suspek serang balai polis ditahan

Balai polis diserang lelaki bertopeng

Balai polis diserang: 2 anggota, suspek maut

Balai Polis Ulu Tiram dikawal ketat

Serangan Balai Polis: KPN sahkan suspek anggota JI

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 6:29 PM