MAYAT bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui dengan kesan kecederaan di pipi.
MAYAT bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui dengan kesan kecederaan di pipi.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Mayat bayi perempuan yang ditemukan bawah sebuah kereta di kawasan parkir Apartmen Putra Ria, di sini hari ini didapati mempunyai kesan kecederaan di bahagian pipi kiri.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 999 daripada pihak pengurusan apartmen itu pada 9.33 pagi tadi.

"Siasatan awal mendapati bayi baru dilahirkan berikutan masih bertali pusat. Fizikal mangsa masih lengkap dan dipercayai bayi warga asing.

"Jam 10.25 pagi ambulans dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) tiba di lokasi dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, mayat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemukan dalam bungkusan kain di bawah kereta Proton Iswara di tempat letak kenderaan Apartmen Putra Ria, Pantai Dalam, di sini, hari ini.

Saksi kejadian, Latiff Jaafar, 65, berkata, dia menemukan mayat bayi berkenaan ketika menyapu sampah di tempat letak kenderaan di apartmen berkenaan kira-kira 9 pagi tadi.

Ku Mashariman berkata, mayat mangsa dibawa ke PPUM untuk dibedah siasatan bagi melengkapkan siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan sehingga keputusan bedah siasat yang dijangka dijalankan di Patologi PPUM esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 8:09 PM