Gambar Hiasan. Foto Ghazali Kori
Gambar Hiasan. Foto Ghazali Kori
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Johor membenarkan pelaksanaan solat Jumaat, fardu, Tarawih, Aidilfitri dan kegiatan mengimarahkan di semua masjid serta surau.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, bagi daerah Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi yang terbabit dengan perintah kawalan pergerakan (PKP), dibenarkan tidak melebihi satu per tiga daripada kapasiti dewan solat masjid dan surau untuk pelaksanaan solat fardu dan solat Tarawih.

Katanya, pelaksanaan solat sunat Aidilfitri juga dibenarkan tidak melebihi satu per tiga daripada kapasiti dewan solat masjid dan surau.

"Bagi daerah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) adalah dibenarkan menggunakan semua ruang solat masjid dan surau.

"Bagi daerah PKP, kegiatan menziarahi tanah perkuburan adalah tidak dibenarkan, manakala daerah PKPB pula hanya dibenarkan selepas hari raya ketiga.

"Kebenaran ini berkuat kuasa mulai esok sehingga ada ketetapan lain yang ditentukan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) selepas mendapat pandangan dan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mana-mana masjid atau surau yang dikesan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan pegawai masjid, ahli jawatankuasa atau jemaahnya perlu ditutup serta-merta mengikut tempoh ditentukan pegawai kesihatan daerah.

Katanya, pengimarahan merangkumi pelaksanaan solat sunat Tarawih hanya diberikan kepada warganegara dan penduduk tetap dalam kalangan lelaki dewasa serta kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas, selain dilaksanakan 20 rakaat diikuti solat sunat witir.

"Imam bertugas hendaklah membaca surah lazim sahaja pada setiap rakaat selepas bacaan surah al-Fatihah, manakala majlis berbuka puasa, jamuan, penyampaian bantuan, kegiatan memasak dan agihan bubur lambuk dalam kawasan masjid serta surau tidak dibenarkan.

"Pelaksanaan solat sunat hajat dilaksanakan di masjid dan surau selepas solat fardu maghrib dan solat Jumaat, selain program kuliah dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam, bagaimanapun kuliah sebelum atau selepas Tarawih tidak dibenarkan.

"Tadarus al-Quran dibenarkan tidak melebihi satu jam selepas selesai solat sunat witir atau waktu yang sudah diprogramkan masjid dan surau dengan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi.

"Majlis khatam al-Quran dibenarkan dalam tempoh satu jam 30 minit selepas solat fardu Zuhur hingga Asar.

"Majlis qiamulail hendaklah dalam tempoh dua jam sebelum masuk waktu subuh namun aktiviti tidur bermalam tidak dibenarkan," katanya.

Katanya, pematuhan semua SOP KKM, MKN, dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor hendaklah diperketatkan menerusi kawalan ahli jawatankuasa masjid dengan bantuan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 4:41 PM