GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Pelaksanaan solat tarawih termasuk pengimarahan masjid dan surau dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan di negeri ini.

Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad berkata, pelaksanaan solat tarawih hendaklah diberi keutamaan kepada jemaah lelaki dewasa dan kanak-kanak berusia tujuh tahun ke atas, selain dilakukan sebanyak 20 rakaat diikuti dengan solat sunat witir tiga rakaat.

Katanya, imam bertugas bagi solat tarawih hendaklah membaca surah lazim saja pada setiap rakaat selepas al-Fatihah dan imam serta jemaah hendaklah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Kebenaran ini berkuat kuasa sepanjang Ramadan iaitu bermula 13 April hingga ada ketetapan lain yang ditentukan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Sepanjang tempoh PKPB, program tadarus al-Quran dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi satu jam selepas selesai solat witir atau waktu yang diprogramkan oleh pihak masjid mahupun surau.

"Majlis khatam al-Quran dilaksanakan dalam tempoh tidak melebihi satu jam tiga puluh minit, selain program kuliah dan ceramah dibenarkan dalam tempoh tidak melebihi satu jam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kuliah sebelum atau selepas tarawih tidak dibenarkan.

Katanya, majlis berbuka puasa, sahur dan moreh dalam masjid mahupun surau dibenarkan di kawasan khusus serta juadah hendaklah dibungkus, namun tidak dibenarkan secara bufet atau layan diri.

"Bagi majlis tertentu seperti jamuan berhidang dibenarkan untuk bilangan 50 jemaah saja di ruang yang ditetapkan.

"Kegiatan masak-memasak dalam kawasan masjid dan surau adalah tidak dibenarkan, namun program agihan bubur lambuk dalam kawasan masjid serta surau dibenarkan.

"Majlis qiamulail di masjid mahupun surau adalah dibenarkan untuk tempoh dua jam sebelum masuk waktu subuh, namun jemaah tidak dibenarkan tidur bermalam dalam premis itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 April 2021 @ 10:53 AM