ABDUL Halim pada sidang media menerangkan SOP solat tarawih di Melaka. FOTO Nuraliawati Sabri
ABDUL Halim pada sidang media menerangkan SOP solat tarawih di Melaka. FOTO Nuraliawati Sabri
Nuraliawati Sabri

Melaka: Pengimarahan masjid dan surau serta aktiviti sepanjang Ramadan di negeri ini dibenarkan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, bagaimanapun sekiranya terdapat kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau terdapat penularan kes yang tinggi, kesemua aktiviti di kawasan terbabit akan ditangguhkan.

Beliau berkata, antara aktiviti yang dibenarkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah tadarus dan khatam al-Quran; aktiviti iktikaf dan qiyamullai serta memasak di masjid dan surau.

"Kadar kapasiti jemaah yang dibenarkan berdasarkan kapasiti ruang masjid atau surau dengan penjarakan fizikal satu meter selain solat tarawih dibenarkan dengan lapan atau 20 rakaat serta diakhiri dengan witir.

"Pelaksanaan solat tarawih juga digalakkan dibuat secara ringkas iaitu memilih bacaan surah pendek... Tazkirah selepas atau antara solat juga dibenarkan tetapi hendaklah secara ringkas," katanya pada sidang media di Jabatan Mufti Melaka, di Bukit Palah, hari ini.

Beliau berkata, majlis berbuka puasa, sahur serta moreh turut dibenarkan tetapi penyediaan atau makan di dalam talam tidak dibenarkan sebaliknya digalakkan secara berbungkus dan bufet.

"Kita juga membenarkan pihak masjid dan surau yang ingin memasang khemah tambahan bagi menampung jumlah jemaah tetapi hanya di dalam kawasan premis dan tidak boleh mengganggu lalu lintas," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Halim berkata, warganegara asing masih tidak dibenarkan mengikuti aktiviti di masjid dan surau.

"Selain itu kehadiran kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun juga tidak digalakkan mengikuti aktiviti di masjid atau surau.

"Kita juga masih menetap tidak membenarkan penceramah dari luar Melaka atau negara luar kecuali dengan kebenaran khas dari Jabatan Mufti," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 12:31 PM