GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Orang ramai di Sabah diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan dakyah dan propaganda menerusi penyebaran berita palsu mengenai program imunisasi Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata, program berkenaan perlu dijayakan dan semua pihak seharusnya memberikan kerjasama bagi memastikan tiada golongan tercicir daripada menerima vaksin Covid-19.

Katanya, program berkenaan tidak boleh disia-siakan, memandangkan penularan pandemik Covid-19 sudah berlarutan lebih setahun dan menjejaskan pelbagai aspek kehidupan, termasuk aktiviti ekonomi.

"Kita sudah menempuhi perjalanan jauh sejak Ramadan tahun lalu dan kita melihat sendiri bagaimana pandemik ini menjejaskan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sabah.

"Pemberian vaksin tidak akan bermakna jika kita tidak bekerjasama. Jauhi segala berita palsu dan propaganda yang didalangi agenda politik sempit yang dipelopori oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Selagi ada tempat di Sabah yang terdedah, maka seluruh negeri akan tetap berisiko," katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Ketua Pengarang dan Pengamal Media Sabah, di sini, malam tadi.

Setakat semalam, hanya kira-kira 16 peratus atau seramai 469,318 individu mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 di Sabah, manakala 55,094 orang sudah menerima dos pertama vaksin Pfizer BioNTech, manakala 48,934 menerima dos kedua.

Hajiji berkata, media turut memainkan peranan untuk mengingatkan orang ramai mengenai kepentingan program imunisasi yang sedang dilaksanakan di seluruh negeri.

Beliau turut menyatakan penghargaan kerajaan negeri terhadap pengamal media di Sabah atas pembabitan mereka bersama-sama menjadi barisan hadapan menghebahkan maklumat berkaitan perkembangan semasa Covid-19 di negeri ini.

Dalam hubungan itu, katanya kerajaan negeri berusaha membantu pengamal media di negeri ini mendapatkan suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan untuk mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan golongan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 10:58 AM