Shamshun  (empat kanan) beramah mesra dengan warga media. FOTO Saifullizan Tamadi
Shamshun (empat kanan) beramah mesra dengan warga media. FOTO Saifullizan Tamadi
Amir Abd Hamid


Putrajaya: Media berperanan membantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempromosi usaha bagi memperkasa dan menjamin kebebasan Suruhanjaya itu.

Ini termasuk berkaitan pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan mewujudkan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata, seperti sedia maklum, kedua-dua cadangan itu adalah peruntukan baharu dalam Perlembagaan Persekutuan dan memerlukan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen bagi membolehkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dilaksanakan.

Beliau berkata, ketika ini juga, SPRM merangka untuk mengesyorkan peruntukan undang-undang baharu yang lebih khusus dalam menangani isu ketirisan dan salah laku seperti didedahkan oleh Ketua Audit Negara setiap tahun.

"Ini kerana SPRM hanya menyiasat sekiranya dikesan ada unsur penyelewengan serta salah laku rasuah.

"Namun, bagaimana dengan tindakan terhadap isu salah laku lain yang dilaporkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan adakah ia hanya dibiarkan dengan syor atau teguran sahaja?

"Di negara lain seperti Brunei dan Hong Kong sudah mempunyai akta ini dan adalah penting Malaysia mempunyai peruntukan sama kerana laporan audit sentiasa diterbitkan dan kita lihat banyak berlaku ketirisan serta kerugian besar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada sesi libat urus bersama media sempena Hari Kebebasan Akhbar Sedunia, di sini, hari ini.

Menurutnya, selain itu kefahaman mengenai SPRM sebagai agensi yang dipantau oleh lima panel bebas serta peranan kuasa mendakwa juga perlu sering diingatkan kembali di media arus perdana supaya ia tidak dipertikai atau diputarbelit oleh mereka yang tidak jelas mengenai perkara ini.

Katanya, SPRM maklum bahawa suruhanjaya itu menjadi tumpuan masyarakat kerana antara isu utama yang memberi kesan besar kepada negara ialah isu rasuah.

"Berdasarkan laporan syarikat pemantauan media terhadap SPRM, sepanjang 2020, sebanyak 32,132 artikel dan laporan berkaitan SPRM dan rasuah sudah disiarkan menerusi empat medium utama iaitu media cetak, televisyen, radio dan portal berita.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 8,486 disiarkan di media cetak, 4,266 di televisyen, 345 di radio manakala 19,035 pula di portal berita.

"Inilah bukti betapa besarnya liputan yang diperoleh dan kita juga yakin perkara yang sama turut berlaku pada tahun ini.

"Namun di sebalik liputan yang meluas ini, masyarakat perlu tahu apakah cabaran dan hala tuju SPRM dalam keadaan kami mendepani cabaran menangani rasuah secara berkesan, baik menerusi sudut pengoperasian, pencegahan mahu pun pendidikan masyarakat," katanya.

Oleh itu, katanya, setiap peranan SPRM perlu diperjelaskan lagi kepada umum secara berterusan supaya tahap keyakinan masyarakat terhadap SPRM lebih meningkat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 9:54 PM