ANTARA kereta mewah yang disita. FOTO ihsan SPRM
ANTARA kereta mewah yang disita. FOTO ihsan SPRM
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Seramai enam individu bakal didakwa di mahkamah Isnin dan Selasa hadapan selepas disyaki menipu duti 100 kereta mewah membabitkan ketirisan cukai lebih RM33 juta kepada kerajaan.

Ia susulan kejayaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kegiatan sindiket membabitkan pengusaha dan 'runner' perkhidmatan gudang penyimpanan kereta mewah di Pulau Langkawi, Kedah.

"Mereka sebelum ini ditahan menerusi satu operasi khas yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Julai 2023.

"Keenam-enam suspek akan menghadapi lebih 21 pertuduhan mengikut Seksyen 468 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan," katanya.

Menurutnya, operasi dijalankan SPRM susulan isu terkurang kutipan duti kastam sepanjang 2012 hingga 2021 di Pulau Langkawi dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2022 (LKAN 2022).

Dia berkata, LKAN 2022 memaklumkan bahawa terdapat unsur ketirisan lebih RM72 juta dalam pengutipan duti kastam membabitkan lebih 100 kenderaan mewah pelbagai jenama antaranya seperti Lamborghini, Ferrari, Porsche, Bentley, McLaren dan Rolls Royce.

"Susulan LKAN 2022 itu, SPRM menjalankan satu operasi khas yang dipanggil 'Op Eagle' dan mengesan terdapat sindiket yang bersubahat dengan pemilik kereta mewah yang mahukan pengecualian dan pengurangan duti kastam walaupun sebenarnya mereka tidak layak.

"Sindiket ini menggunakan surat akuan sumpah atas nama pemilik kenderaan yang palsu sebagai tulen kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

"Menerusi operasi itu juga, SPRM turut mengesan unsur ketirisan dan salah laku rasuah di Pusat Bebas Cukai (PBC) seterusnya menjejak semula 100 kereta mewah yang disyaki mengelak daripada dikenakan duti kastam," katanya.

Beliau berkata, pada operasi khas fasa pertama yang dijalankan di utara negara, Johor dan Sabah sekitar Julai tahun lalu, SPRM berjaya menyita sembilan kereta mewah pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai lebih RM12 juta.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman ketika dihubungi mengesahkan kesemua suspek akan didakwa mengikut kesalahan Seksyen 468 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan.

"Semua suspek ditahan sebelum ini akan didakwa di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah, pada Isnin dan Selasa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 4:45 PM