Rafidah Mat Ruzki dan Saiful Haizan Hasam


Putrajaya: Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang bersedia disiasat mana-mana pihak dan organisasi berhubung kenyataan medianya pada 5 Januari lalu, membabitkan dakwaan salah laku Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Abu Zahar ketika membacakan kenyataan media tiga halaman di Ibu Pejabat SPRM berkata, beliau turut menyerahkan kepada budi bicara mutlak Kerajaan Persekutuan dan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukannya sebagai pengerusi LPPR.

Beliau berkata, kenyataan medianya hari ini adalah bagi menjelaskan beberapa perkara berhubung dengan sidang medianya pada 5 Januari lalu.

Katanya, kenyataan medianya yang terdahulu malangnya memberikan gambaran tidak tepat kepada masyarakat awam yang mengikuti laporan media berkaitan.

"Sekiranya kenyataan media 5 Januari 2022, saya menampilkan fahaman tidak dihasratkan seperti dinyatakan, sehingga ke tahap ia menjatuhkan nama baik SPRM secara keseluruhannya, yang sememangnya tidak dihasratkan, saya serahkan kepada budi bicara mutlak Kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan kedudukan saya sebagai Pengerusi LPPR, iaitu adalah satu amanah saya laksanakan setakat ini, tanpa mengambil pihak.

"Saya semestinya akan akur dengan keputusan itu," katanya dalam sidang media secara bersendirian di Ibu Pejabat SPRM, di sini, hari ini, tanpa kehadiran enam lagi ahli LPPR mahupun Azam.

Abu Zahar berkata, pelaporan media pada sidang media terdahulu yang disifatkannya sebagai tidak menyeluruh oleh sesetengah agensi media, menyumbang kepada salah tanggapan masyarakat biarpun terdapat pelbagai isu selain berkaitan dakwaan salah laku Azam.

Beliau berkata, video berkaitan sidang media itu yang tular hanya memaparkan sebahagian kecil kenyataannya.

Hishammuddin Tun Hussein
Hishammuddin Tun Hussein

Selain itu, katanya, siasatan terhadap Azam masih terbuka untuk diteruskan mana-mana agensi berkaitan.

"Sebagai Pengerusi LPPR, saya menyedari dan mengetahui LPPR tidak mempunyai kuasa untuk melakukan siasatan sendiri berkaitan apa-apa salah laku jenayah terhadap mana-mana pegawai SPRM.

"LPPR cuma mempunyai kuasa memberi pandangan dan cadangan mengenai cara siasatan wajar dilakukan dalam keadaan tertentu, selari dengan peruntukan Seksyen 13(5)(a) Akta SPRM 2009 (Akta 694).

"Seperti dinyatakan dalam kenyataan media bertulis pada 5 Januari lalu, siasatan berkaitan 'alegasi salah laku' terhadap Azam, masih terbuka untuk diteruskan mana-mana agensi mempunyai kuasa atas pendapat dan seliaan daripada Pejabat Peguam Negara.

"Saya mahupun mana-mana rakan anggota saya yang lain dalam LPPR, saya percaya, tidak langsung berhasrat untuk menghalang siasatan lanjut itu, jika ada," katanya.

Abu Zahar berkata, adalah digalakkan atas konsep kedaulatan undang-undang supaya nama baik dan integriti SPRM akan sentiasa berada di tahap tertinggi menurut lunas undang-undang.

Beliau turut menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan enam anggota LPPR SPRM yang mengeluarkan kenyataan media berasingan pada 8 Januari lalu.

Menurutnya, hubungannya baik dengan semua enam ahli berkenaan sejak dilantik menganggotai Ahli Jawatankuasa Penasihat SPRM mengikut Peruntukan Seksyen 13(5)(a) Akta 694.

"Perbualan pada 7 Januari lalu antara kami bersetuju untuk mengadakan satu perjumpaan tertutup, dijadualkan 10 pagi tadi di Pejabat Akademi SPRM, di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

"Tiba-tiba pada tarikh 8 Januari 2022, saya dapati kesemua enam ahli LPPR itu mengadakan mesyuarat antara mereka terlebih dahulu tanpa memberitahu saya, dan mereka telah mengeluarkan kenyataan media," katanya yang turut berkongsi beberapa mesej WhatsApp dihantar ahli terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 3:37 PM