Kalidevi Mogan Kumarappa


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menubuhkan satu pasukan khas untuk meneliti sekiranya terdapat isu rasuah atau salah guna kuasa menerusi pendedahan laporan audit negara yang dikeluarkan semalam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya sudah menerima laporan berkenaan dan pegawainya akan menelitinya secara terperinci.

“Kita mengenal pasti beberapa isu dan selepas meneliti laporan audit itu. Kita akan ambil tindakan seterusnya.

“Satu pasukan khas sudah ditubuhkan untuk menyiasat semua isu itu dan siaran media akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) SPRM di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis itu, 14 agensi penguatkuasaan antaranya Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Anti Rasuah Malaysia menjadi agensi pertama yang berdaftar sebagai Sahabat GERAH SPRM.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2017 @ 2:29 PM
Dzulkifli (kiri) mengedarkan risalah pendaftaran ahli Sahabat GERAH kepada orang ramai pada majlis pelancaran Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH). FOTO Asyraf  Hamzah
Dzulkifli (kiri) mengedarkan risalah pendaftaran ahli Sahabat GERAH kepada orang ramai pada majlis pelancaran Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH). FOTO Asyraf Hamzah