Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki bersama wakil media pada Program Luncheon Talk Ketua Pesuruhjaya  SPRM Bersama Pengarang Media Bahasa Melayu di ibupejabat SPRM. FOTO SAMADI AHMAD
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki bersama wakil media pada Program Luncheon Talk Ketua Pesuruhjaya SPRM Bersama Pengarang Media Bahasa Melayu di ibupejabat SPRM. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghargai peranan media yang membantu membuat liputan terhadap usaha pencegahan rasuah dan pendidikan kepada masyarakat di negara ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata, melihatkan kepada trend hari ini, pihaknya menyedari peranan media massa juga berubah terutama surat khabar dan televisyen yang bukan lagi sebagai penyalur maklumat nombor satu negara seperti suatu ketika dahulu.

Azam berkata, peranan itu kini beralih kepada media sosial yang sangat kuat pengaruhnya, biarpun laporan media arus perdana lebih berintegriti berbanding media sosial.

Menurut beliau, ia sekali gus memartabatkan media arus perdana dan pihaknya berterima kasih kepada media arus perdana khususnya media cetak atas liputan, laporan dan artikel berkaitan SPRM yang meluas diadakan selama ini.

Katanya, beliau yakin usaha dilaksanakan pihak media ini adalah atas usaha keprihatinan pihak media ini untuk bersama-sama memerangi rasuah di negara ini.

"Kerjasama ini perlu diteruskan berdasarkan kesefahaman dan atas kesedaran bahawa ia adalah tanggungjawab bersama dan bagi SPRM pula dalam mendedahkan sesuatu isu berkaitan siasatan, faktor sensitiviti, undang-undang dan kerahsiaan perlu diambil kira," katanya ketika berucap pada Program Luncheon Talk Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Pengarang Media Bahasa Melayu.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Datuk Seri Shamshun Baharin Mohd Jamil, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM Kamaruddin M Ripin.

Program itu turut dihadiri pengarang dan wakil media akhbar.

Azam berkata, SPRM sedia maklum bahawa suruhanjaya itu menjadi tumpuan rakyat kerana ada antara isu utama yang memberi kesan besar kepada negara membabitkan isu rasuah.

Menurut beliau, rakyat perlu mengetahui apakah cabaran dan hala tuju SPRM dalam keadaan ia mendepani cabaran menangani rasuah secara berkesan, baik menerusi sudut pengoperasian, pencegahan mahu pun pendidikan masyarakat.

Justeru, katanya, setiap peranan SPRM perlu diperjelaskan kepada umum secara berterusan agar tahap keyakinan masyarakat terhadap SPRM meningkat.

"Banyak perkara yang boleh diketengahkan oleh media berhubung program pencegahan dan pendidikan masyarakat yang telah dan sedang dilaksanakan SPRM, sebagai contoh program Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) di Institusi Pengajian Tinggi, program Wira Anti Rasuah (WAR) dalam kalangan pelajar sekolah, program pendidikan antirasuah melalui aktiviti kebudayaan dan kesenian serta program penyampaian mesej antirasuah menerusi platform e-sukan.

"SPRM juga memasukkan elemen pendidikan antirasuah dalam buku teks subjek Bahasa Melayu bagi murid Tahun Lima.

"Terbaharu, seperti dinyatakan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, SPRM meminta Kementerian Pengajian Tinggi memastikan setiap universiti menerima Kursus Integriti dan Rasuah sebagai mata pelajaran wajib di peringkat ijazah bagi menekankan aspek hubungan antara manusia dan implikasi terhadap persekitaran, bukan lagi sebagai subjek elektif," katanya.

Pada masa sama, Azam berkata, SPRM berperanan bukan sahaja dari segi pengoperasian, malah membantu negara untuk melatih agensi kerajaan bagi membina Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) masing-masing.

Beliau berkata, bagi membantu pelaksanaan program itu, SPRM menempatkan seramai 80 pegawai integriti (CeIO) di bahagian integriti agensi awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Azam berkata, SPRM turut mengadakan kursus dan latih amal kepada kementerian, agensi kerajaan serta agensi berkaitan kerajaan untuk membentuk OACP sebagai satu langkah untuk membantu mereka mempunyai pelan antirasuah yang sistematik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Februari 2021 @ 2:46 PM