AZAM Baki pada sidang media SPRM. FOTO Aswadi Alias
AZAM Baki pada sidang media SPRM. FOTO Aswadi Alias
Irwan Shafrizan Ismail

Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan berhubung ketirisan dan pembaziran dana awam dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, tanpa menyebut mana-mana pihak, pendedahan LKAN itu sedang diteliti pihaknya.

"Kami memberi jaminan sekiranya bahagian siasatan kami telah meneliti dan mendapati ada isu yang perlu kita buka kertas siasatan.

"Perkara ini saya akan maklum kemudian. LKAN ini memang menjadi perhatian kita setiap kali diumumkan. Perlu diingat bahawa tugas kita ialah melihat soal pelakuan jenayah sesuatu perkara itu," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beberapa pakar ekonomi dan pakar integriti menggesa supaya kerajaan menubuhkan pasukan penyiasatan khas di bawah SPRM bagi menangani isu ketirisan dan pembaziran dana awam yang hampir setiap tahun didedahkan LKAN.

Sebelum ini, LKAN 2021 Siri 2 mendedahkan pelbagai kepincangan dan kelemahan dalam sistem kerajaan yang mengakibatkan kerugian, ketirisan dan pembaziran wang rakyat.

Antara yang didedahkan ialah kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran sejumlah RM158.08 juta, yang dikesan di tiga kementerian dan empat agensi Persekutuan yang diaudit Jabatan Audit Negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 12:09 PM