Konsesi lebuhraya sumbang 3,500 barang dapur. FOTO Ihsan LITRAK
Konsesi lebuhraya sumbang 3,500 barang dapur. FOTO Ihsan LITRAK
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Empat konsesi lebuh raya di bawah Kumpulan Gamuda iaitu KESAS Sdn Bhd, Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK), SPRINT Sdn Bhd dan Terowong SMART bekerjasama menyumbangkan 3,500 barang dapur kepada asnaf dan golongan kurang berkemampuan, baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LITRAK dan SPRINT, Sazally Saidi berkata, penganjuran beberapa siri program amal itu dilaksanakan menerusi Projek Sumbangan Amal Ramadan 2021.

"Seiring dengan misi projek amal ini, program dianjurkan bertujuan meringankan beban keluarga asnaf dan miskin sempena Ramadhan serta membantu anak-anak yatim yang memerlukan untuk membuat persiapan Aidilfitri.

"Bermula 22 Mac lalu, KESAS, LITRAK, SPRINT dan Terowong SMART melancarkan Program Pek Dapur Ramadan, yang berjaya mengumpul sebanyak 3,500 barangan dapur yang bernilai lebih daripada RM 22,000 daripada kakitangan.

"Barangan dapur ini dipek semula untuk diagihkan kepada 200 keluarga asnaf dan miskin daripada Persatuan Kebajikan Al Fattah Bandar Sunway, Kumpulan NGI Misi Amal Bangi, Surau Nurul Sham Teluk Panglima Garang, Masjid Al Falah Shah Alam dan Sekolah Menengah Kebangsaan Batu Muda, Sentul," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sazally berkata, sumbangan Pek Dapur Ramadan itu juga turut disalurkan kepada gerobok rezeki yang disediakan di surau terpilih untuk keperluan kariah yang memerlukan.

"Tahun ini keempat-empat konsesi lebuh raya di bawah Kumpulan Gamuda bergabung untuk menjayakan program amal sempena Ramadan dan hasil kutipan juga amat memberansangkan.

"Kami harapkan sumbangan yang diberikan kepada lebih 200 keluarga (Projek Pek Dapur Ramadan) dan persiapan Aidilfitri untuk rumah kebajikan ini dapat membantu, terutamanya di waktu pandemic Covid 19 yang sukar kini," katanya.

Bagi menyambut persiapan Aidilfitri katanya, Program Shopping Spree bersama anak-anak dari Rumah Kebajikan Anak Yatim dan Miskin Al-Munirah, Klang turut dianjurkan.

Sumbangan amal ini diberikan dalam satu majlis penyerahan ringkas oleh Ketua Jabatan Komunikasi LITRAK, Shah Rizal Mohamed Fawzi bersama Ekskutif Kanan KESAS, Khairani Mohamed Salleh dan Pengurus Sumber Manusia & Korporat Terowong SMART, Norzanawati Kasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 2:37 PM