DR Ong ketika menyampaikan ucaptama di forum awam bertajuk The Next Four Years: What Now for Malaysia?.
DR Ong ketika menyampaikan ucaptama di forum awam bertajuk The Next Four Years: What Now for Malaysia?.
Mahanum Abdul Aziz


KUALA LUMPUR: Cadangan pengambilalihan empat lebuh raya utama di Lembah Klang oleh kerajaan membolehkan pengguna lebuh raya itu tidak perlu lagi membayar lebih untuk tol, demikian kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming.

Berdasarkan perjanjian konsesi semasa, beliau menjelaskan, kadar tol bagi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) di bawah kendalian Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) akan meningkat daripada kadar semasa RM2.10 kepada RM3.10.

Bagi rangkaian lebuh raya di bawah Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint), jelasnya, kenaikan daripada RM2 kepada RM2.50 bagi Tol Damansara, Kerinchi Link pula boleh meningkat kepada RM3.50 berbanding RM2.50 dan kadar tol di Penchala Link boleh meningkat kepada RM5 berbanding RM3.

“Jika tidak berlaku perubahan dalam kerajaan, cadangan untuk mengambil alih tol ini tidak akan dilaksanakan. Saya meneliti semua perjanjian konsesi pada masa lalu, malah sebelum kami membentuk kerajaan baharu, jadi saya biasa dengan butiran (konsesi tol) dan pada asasnya anda membayar lebih RM1 untuk terperangkap dalam kesesakan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di forum awam bertajuk The Next Four Years: What Now for Malaysia? Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) di sini, semalam.

Minggu lalu, kerajaan mengumumkan pengambilalihan empat lebuh raya iaitu LITRAK pada nilai RM2.47 bilion, SPRINT (RM1.984 bilion), Lebuh Raya Shah Alam Sdn Bhd (KESAS) (RM1.377 bilion) serta Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) (RM369 juta).

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dipetik berkata, jika proses pengambilalihan lebuh raya berkenaan berjalan lancar, kerajaan melalui syarikat tujuan khas (SPV) akan mengambil alih lebuh raya terbabit pada 31 Disember ini.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia semalam, Gamuda Bhd menerima cadangan yang dikemukakan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) membabitkan pengambilalihan semua kepentingan ekuiti kumpulan itu dalam KESAS, SPRINT, LITRAK dan SMART.

Sementara itu, Dr Ong menegaskan, cadangan kerajaan untuk mengambil alih empat lebuh raya utama di Lembah Klang itu menunjukkan komitmen kerajaan dalam memenuhi janjinya bagi mengurangkan dan seterusnya menghapuskan tol, terutama tol antara bandar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Jun 2019 @ 6:30 AM