Suraya Roslan


Subang: Pertambahan pekerja perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing) di lebuh raya dikaitkan dengan pelbagai isu pelanggaran peraturan lalu lintas dan kemalangan.

Kajian dan pemerhatian oleh Kumpulan Lebuhraya Gamuda merangkumi Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd (SPRINT), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya Terowong Sdn Bhd (SMART) menggunakan kamera litar tertutup dan pasukan peronda lebuh raya mendapati penunggang p-hailing terdedah risiko kemalangan khususnya pada waktu puncak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Litrak, Sazally Saidi berkata, antara kesalahan yang direkodkan golongan itu adalah menggunakan laluan utama dan tidak menggunakan laluan motosikal khusus disediakan di Lebuhraya Kesas.

"Selain itu, mereka dikesan menunggang motosikal secara melawan arus serta melalui kawasan plaza serta lorong di plaza tol seperti kebanyakan kes direkodkan di LDP.

"Malah ada sesetengah mereka menggunakan laluan terowong di Lebuhraya SMART," katanya dalam Majlis Lantikan 'Saya Geng Highway' kepada penghantar makanan dan penuntut Kolej Baitulmal Kuala Lumpur di Kompleks Operasi Litrak, di sini, tadi.

Sazally berkata, statistik daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) juga menunjukkan lebih 60 peratus kematian membabitkan penunggang motosikal dalam kemalangan jalan raya sepanjang tempoh 20 tahun lalu.

"Berdasarkan statistik juga, dianggarkan 60,000 orang mendaftar sebagai penghantar p-hailing menggunakan motosikal di Malaysia.

"Pendaftaran penunggang baharu dianggarkan sehingga 200 orang setiap hari dan trend ini dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa," katanya.

Menurutnya, selaras dengan usaha pihak Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi mengurangkan kadar kemalangan di lebuh raya membabitkan penunggang motosikal khususnya p-hailing ini, Kumpulan Lebuhraya Gamuda dengan kerjasama LLM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta operator perkhidmatan dan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) melancarkan Kempen Keselamatan Lebuhraya khusus untuk penunggang p-hailing dan penuntut.

"Penganjuran kempen ini adalah untuk meningkatkan kesedaran penunggang p-hailing terhadap kepentingan menjaga keselamatan diri dan pengguna lebuh raya yang lain semasa membuat penghantaran bagi0 mengurangkan kadar kemalangan membabitkan penunggang p-hailing.

"Antara pengisian yang diadakan semasa kempen ini adalah taklimat dari Kumpulan Lebuhraya Gamuda dan PDRM.

"Malah kita juga melantik penuntut dan penunggang p-hailing ini sebagai agen keselamatan lebuh raya menerusi pelaksanaan program #SAYAGENGHIGHWAY.

"Menerusi program #SAYAGENGHIGHWAY in, hebahan mesej keselamatan serta pelaksanaan kempen melalui platform media sosial akan disalurkan terus kepada rakan penunggang p-hailing," katanya.

Sementara itu, seorang penghantar makanan, Syafiq Ilyas, 20, mengakui program dianjurkan konsesi lebuh raya itu sangat bermanfaat untuk menambah ilmu pengetahuan penunggang motosikal mengenai keselamatan di jalan raya.

"Diharap program sebegini diperluaskan lagi di lebuh raya lain sebagai peringatan untuk kami lebih berhati-hati di jalan raya," katanya.

SAZALLY (tengah) bergambar bersama penghantar makanan selepas Kempen Keselamatan Lebuhraya. FOTO Azhar Ramli
SAZALLY (tengah) bergambar bersama penghantar makanan selepas Kempen Keselamatan Lebuhraya. FOTO Azhar Ramli

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 4:37 PM