Anggota polis dan tentera menjalankan sekatan jalan raya dalam tempoh PKP 2.0 di Plaza Tol Gombak hari ini.
Anggota polis dan tentera menjalankan sekatan jalan raya dalam tempoh PKP 2.0 di Plaza Tol Gombak hari ini.
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 127 individu yang rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran antara ditahan polis semalam atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara keseluruhan seramai 594 individu ditahan kerana ingkar arahan PKP.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 569 individu dikompaun manakala 25 orang direman.

"Kesalahan lain ialah tiada penjarakan fizikal (144), tidak memakai pelitup muka (77), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (74), keluar rumah tanpa alasan munasabah (57), membawa penumpang berlebihan (31), aktiviti pusat hiburan (23), aktiviti sukan (17), premis beroperasi lebih masa (5), ingkar arahan kuarantin (1) dan lain-lain (38)," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri berkata, seramai lima pendatang asing tanpa izin ditahan dan tiga kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng, semalam.

Dalam operasi itu juga, katanya, pihak berkuasa mengesan tiga bot dan kapal di perairan negara serta sebuah kenderaan darat melalui dua aktiviti penglihatan.

Beliau berkata, seramai 557 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara, semalam.

"Sejak 24 Julai 2020, seramai 123,852 individu pulang ke tanah air dan ditempatkan di 69 hotel serta 12 institut latihan awam termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan seramai 8,983 warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 semalam dan daripada jumlah itu, 37 orang didapati positif.

Katanya, secara kumulatif Kementerian Sumber Manusia merekodkan 387,040 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 17,731 majikan.

Menurutnya, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia turut melakukan 57 pemeriksaan tapak binaan di seluruh negara manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna membuat 739 pemantauan, semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 7:29 PM