ANTARA jerat dawai yang dirampas Perhilitan Selangor dalam tempoh 3 hari operasi
ANTARA jerat dawai yang dirampas Perhilitan Selangor dalam tempoh 3 hari operasi
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Putrajaya:Waspada jika melakukan aktiviti di dalam hutan berikutan pemburu haram dikesan semakin aktif memasang jerat 'maut' untuk menangkap haiwan liar dilindungi.

Kegiatan ini terbukti apabila Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor berjaya mengesan dan merampas 68 utas jerat dawai yang diletakkan di hutan negeri ini.

Jumlah rampasan dianggap serius itu dilakukan hanya dalam tempoh tiga hari iaitu bermula pada 8 April sehingga 10 April lalu.

Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jerat dawai atau kabel dipasang itu turut boleh mencederakan kaki manusia jika terpijak tanpa sengaja.

Menurutnya, semua jerat itu berjaya dimusnahkan dalam operasi khas dijalankan pasukan penguatkuasaan Jabatan Perhilitan Negeri Selangor di hutan sekitar negeri ini.

"Operasi itu dijalankan sejurus menerima aduan awam berhubung aktiviti menjerat di sekitar negeri Selangor.

"Aktiviti memiliki, memasang, meletakkan dan menggunakan jerat satu kesalahan serius mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.

"Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan jenayah hidupan liar supaya dapat menyalurkan maklumat tersebut ke Jabatan Perhilitan yang berhampiran atau menghubungi Talian Hotline Jabatan Perhilitan di 1800-88-5151," katanya.

Bahaya jerat pada hidupan liar diakui apabila Perhilitan menyelamatkan seekor gajah dewasa yang disyaki terkena jerat dan cedera berhampiran Kampung Renyuk, Jeli, Kelantan pada Oktober tahun lalu.

Sebelum itu Perhilitan turut menyelamatkan tapir betina yang terkena jerat di Kuala Lipis, Pahang. Ketika diselamatkan, kaki kiri belakang 'Cik Li' bengkak kerana terdapat kabel dawai sepanjang 7 sentimeter (cm) dan berdiameter 0.4 cm tertanam pada pergelangan kakinya.

Kadir berkata, Perhilitan akan terus memberi tumpuan utama kepada pembasmian jerat yang disifatkan sebagai kesalahan serius.

"Kami dapati jerat dawai ini banyak dipasang pemburu haram di pinggir hutan dan berhampiran kongsi ladang, contohnya di Taman Negara di Pahang dan Banjaran Titiwangsa di Perak.

"Sepanjang tahun lalu sahaja, 653 jerat berjaya dimusnahkan melalui 20 Ops Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan.

"Selain pemusnahan jerat, kita turut mengesan 141 khemah pendatang asing tanpa izin (Pati), 21 tebangan pokok karas serta 391 pemburuan lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 7:01 AM