ANTARA bahagian hidupan liar yang dirampas pihak Perhilitan susulan serbuan dilakukan terhadap sebuah rumah kongsi.
ANTARA bahagian hidupan liar yang dirampas pihak Perhilitan susulan serbuan dilakukan terhadap sebuah rumah kongsi.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: Menjadikan rumah kongsi pekerja asing sebagai 'markas' pemburu haram mengumpulkan hasil jerat membabitkan pelbagai haiwan liar dilindungi.

Malah, kediaman terletak di Lenggong, Perak itu, dipercayai dijadikan lokasi melapah haiwan ditangkap membabitkan kambing gurun dan harimau kumbang.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kegiatan itu berjaya ditumpaskan hasil Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Zon Utara membabitkan kerjasama pegawai Perhilitan dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Menurutnya, siasatan berhubung jenayah hidupan liar dilakukan terhadap sebuah kediaman rumah kongsi di Kampung Beng, Lenggong, Perak pada jam 7.30 pagi kelmarin.

"Seramai 17 penghuni di rumah kongsi itu disoal siasat membabitkan seorang lelaki tempatan, empat warga Myanmar dan 12 warga Indonesia. Hasil pemeriksaan di kediaman itu menemui beberapa bahagian hidupan liar dan jerat yang disimpan secara haram oleh penghuninya," katanya.

Menurutnya, antara ditemui adalah kaki Kambing Gurun, ekor harimau kumbang, tengkorak hidupan liar dan berpuluh duri landak raya.

"Turut ditemui adalah tulang hidupan liar serta jerat dawai yang digunakan untuk menangkap haiwan liar di dalam hutan secara haram.

"Kami percaya penghuni rumah kongsi itu menjalankan kegiatan pemburuan haram dan menjerat hidupan liar sama ada untuk dimakan atau dijual di pasaran gelap," katanya.

Menurutnya, tindakan turut diambil mengikut Akta Imigresen 1959/63 berikutan ada warga asing ditahan tidak memiliki dokumen sah memasuki negara ini.

"Semua bahagian haiwan dipercayai bernilai sekitar RM20,000 itu kemudian disita untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2023 @ 8:00 AM